08 Mei 2011

SEINDAH RASA

Tiada seorang megerti akan sebuah pengorbanan
Yang ku hulurkan tanpa kata
Tanpa lidah bersuara..
Hanya mampu melahirkan sebuah rasa.
Ku tahu siapa diriku..
Tiada layak untuk berkata..
Apatah lagi meminta minta..
Taukah kau ku hanya insan biasa..
Yang punyai rasa...
Serta punyai masa untuk mendidik anak bangsa..
Seharian bagiku cukup mengambarkan segalanya
Betapa aku sayangi akan dia..
Namun perubahan mempengaruhi segala..
Andai lidahku patah berbicara...
Kau pasti kan megerti segalanya..
Namun ku tetap seorang insan biasa..
Berpegang dengan pendirian yang nyata..
Berlandaskan prinsip yang sama
Berpijak di bumi yang nyata
kerana ku yakin DENGAN JANJINYA.

06 Mei 2011

KETENANGAN ABADI

Kenangan semalam mematangkan usia
Menambahkan rasa meyakinkan jiwa
Benar kata mereka
Tiada kata seindah rasa
Saat jiwa terasing dari dunia yang nyata
Saat lidah kelu tanpa kata
Tersandar temenung memikirkan usia
Sudah kembalikah ke jasad atau masih di igauan yang nyata.
Dunia penuh khayalan semata-mata
mengulik mimpi-mimpi indah dengan segala rasa
namun hati tetap meronta-ronta
seolah-olah tiada ketenangan jiwa
Sujud sembah seorang pencinta
merindukan belaian kasih dari sang pemberi cinta
dalam tadahan tangan merintih hiba
memohon meminta-minta
dikurniakan sekeping hati agar dapat merasa
ketenangan yang kekal selamaNya
di bawah payung RAHMATNYA.

30 April 2011

KASIH KELUARGA MEMBAWA KE SYURGA


Melakukan kebaikan kepada ibu bapa merupakan suatu perintah dari Allah s.w.t. kepada setiap Muslim. sebagai seorang anak kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Disamping itu, kita hendaklah tahu menghargai budi dan jasa yang dicurahkan mereka siang dan malam demi melihat anak-anak dalam keadaan baik dan berjaya dalam hidup tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Di dalam Al-Quran s.w.t. dengan tegas menjelaskan peranan dan tanggungjawab anak terhadap kedua ibu bapa. Dimana Allah s.w.t. menyuruh agar anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan sentiasa berbuat baik kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan bahasa yang lembut.

Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al- Isra’ ayat : 23 Yang bermaksud : " dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau keduan-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tatapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia ( yang bersopan santun )".

Pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. segala kesusahan sewaktu hamil dan penderitaan serta kesakitan yang dialami disaat melahirkan anak adalah sesuatu yang sukar digambarkan, tatapi dengan tiba-tiba boleh bertukar dengan kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anaknya sebaik sahaja dilahirkan ke dunia ini.

Maka apakah memadai jasa dan pengorbanan seorang ibu itu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu ? sudah tentu tidak, kerana sikap seumpama ini tidak mengambarkan kasih sayang sepanjang hayat, ia hanya sebagai budaya sekali setahun. Walau bagaimanapun hari ibu yang disambut pada 10 MEI setiap tahun tidaklah bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian yang bermakna. Sebagai anak, kita sememangnya dituntut untuk mengenang jasa dan pengorbanan ibu yang telah menyusu, mengasuh dan memelihara kita dengan penuh kasih sayang.

Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ahqaf ayat 15 Yang bermaksud : " dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya".

Justeru itu, hari ibu yang kita sambut sawajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin dan dinilai sejauhmana kita mensyukuri serta menghargai pengorbanan ibu kita dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan sebagai ibu. Dengan demikian akan menambah dan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang, melahirkan rasa hormat yang sedalam-dalamnya serta berterima kasih.

Menghormati ibu, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu mestilah dipatuhi dan sama sekali tidak boleh dikhianati. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibunya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk tunjuk ajar yang baik, maka dia (anak tersebut) dianggap telah mendurhaka. Dan bagi mereka yang durhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, mendurhaka kedua ibu bapa bererti telah mendurhaka kepada Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w. :

" عَنْ عَبْدِ الله بن عَمْرُو بن العاص رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: رِضَا الله في رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسَخْطُ اللهِ في سَخْطِ الْوَالِدَيْنِ.
(رواه الترمذي)

Yang bermaksud : " Dari Abdullah ban Amru r.a. telah bersabda Rasulullah s.a.w. : Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa " .

Marilah kita mengambil kesempatan bersempena Sambutan Hari Keluarga Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa yang akan disambut pada 15 MEI ini untuk sama-sama merenung dan melakukan muhasabah diri. Apakah yang telah kita lakukan untuk keluarga kita, khususnya mendidik dan mengajar anak-anak agar mereka sentiasa tunduk dan patuh terhadap ajaran Islam sepanjang masa.

Kita sering dikhabarkan dan digemparkan dengan pelbagai masalah sosial terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Gejala yang membimbangkan ini dikaitkan dengan kerapuhan dan kelemahan institusi keluarga. Maka keadaan ini perlu diubah dan diatasi segera demi kebaikan sesebuah keluarga dan seterusnya memberi sumbangan kepada negara.

Islam mengajar agar keluarga dan rumahtangga menjadi sebuah institusi yang aman dan bahagia bagi seluruh ahli keluarga. Maka ibu bapa adalah orang pertama yang diharapkan dapat memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang betul kepada anak-anak terutama dalam menyelesaikan masalah anak-anak. Dalam hal ini, Al-Quran dengan jelas memberi panduan kepada ibu bapa, bagaimana memberi perhatian dan didikan yang sempurna kepada anak-anak seperti yang digambarkan dalam surah Lukman ayat :13 dimana Allah s.w.t. memuji dan menceritakan didikan yang diberikan oleh Lukman kepada anaknya dengan firman-Nya yang bermaksud : " dan ( ingatlah ! ) tatkala Lukman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku janganlah engkau mempersekutukan Allah ( dengan sesuatu yang lain ) sesungguhnya perbuatan syarik itu adalah satu kezaliman yang besar ! " .

Oleh itu, bersempena dengan sambutan hari ibu dan hari keluarga pada kali ini marilah kita sama-sama menghayati dengan mengisi sambutan hari tersebut mengikut kehendak Islam .

Usaha meraikan sambutan seumpama ini perlu diselarikan dengan kehendak syara’ agar ianya memberi kesan yang baik kepada diri dan keluarga terutama sebagai satu usaha mendidik dan memperkasakan lagi sesebuah keluarga menjadi keluarga yang harmoni dan bahagia serta diredhai s.w.t. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa memberi perhatian kepada beberapa perkara diantaranya :

Pertama :
Memberi Keutamaan Kepada Asas Pembinaan Keluaga.
Sesebuah keluarga tidak mungkin bahagia jika dibina tanpa asas akidah yang kukuh dan keimanan yang mantap terhadap Allah s.w.t. Maka atas sebab inilah Agama Islam melarang keras umatnya samada lelaki mahupun wanita berkahwin dengan orang yang bukan beragama Islam .

Kedua :
Memahami Setiap Tanggungjawab dan Amanah.
Setiap ibu bapa hendaklah faham dan mengetahui tanggungjawab dan peranan masing-masing terutama dalam memberi perhatian dan didikan untuk anak-anak dengan betul menurut kehendak ajaran Islam .

Ketiga :
Mengakui dan Bersedia Menerima Kejadian Diri.
Setiap pasangan hendaklah akur dengan perintah Allah s.w.t. yang telah menetapkan bahawa suami ( kaum lelaki ) adalah sebagai ketua bagi sesebuah keluarga. Oleh itu, suami hendaklah menerima amanah ini dengan penuh tanggungjawab, sementara isteri hendaklah taat dan menghormati suami.

Keempat :
Ibu bapa menjadi Contoh Terbaik.
Hendaklah sentiasa mendidik dan menanam didalam diri anak-anak sifat taat dan patuh kepada kedua ibu bapa serta sentiasa memberi tunjuk ajar dan contoh teladan yang baik kepada anak-anak .

Kelima :
Memupuk Kasih Sayang Yang Berpanjangan.
Hendaklah sentiasa menjaga dan mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan anggota keluarga dengan memastikan suasana sentiasa ceria, mesra, saling hormat menghormati dan selamat.

" dan juga mereka ( yang diredhai Allah itu ialah orang-orang ) yang berdoa dengan berkata : " wahai tuhan kami ! berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertakwa ".

28 April 2011

Cinta dunia........

Cinta dunia merupakan satu penyakit yang amat merbahaya malah diqambarkan oleh Imam Ghazali sebagai pencetus kepada kebanyakan penyakit hati yang lain sepeti takabbur, dengki, riya', megah, buruk sangka serta suka mengumpul harta. Dengan perkataan lain dapat dirumuskan bahawa penyakit cintakan dunia adalah merupakan punca utama kepada banyak penyakit hati yang lain.

Cintakan dunia juga boleh menyebabkan sseorang itu melakukan maksiat serta berakhlak buruk malah boleh mendatangkan kemusnahan, kerosakan serta merupakan perkara yang amat merbahaya kepada manusia kerana cintakan dunia boleh menyebabkan hilang khusyuk dalam ibadah.

Sehubungan itu Rasulullah mengingatkan umatnya agar tidak terpedaya dengan fitnah dunia dan mengutamakan bekalan ke akhirat melalui hadisnya yang bermaksud:
"Barang siapa mencintai dunia, nescaya ia akan membahayakan akhiratnya, dan barang siapa mencintai akhiratnya, nescaya ia akan membahayakan dunianya, maka utamakanlah apa yang kekal daripada apa yang binasa"
(Riwayat Ahmad)

Cinta dunia yang dimaksudkan al-Ghazali ialah cintakan dunia yang tercela yang dijelaskan dengan membezakan diantara dunia yang wujud untuk manusia dan dunia keseluruhanya. dunia yang dimaksudkan untuk manusia mengandungi semua sebelum manusia meninggal dunia dan kemunculan hari kemudian. Apa yang wujud sebelum manusia meninggal dunia meliputi nikmat kesedapan, keseronokan, keuntungan dan keinginan hawa nafsu.

25 April 2011

Cetusan Isi Hati Para Kekasih Allah....

Hai Tuhanku, berilah aku peluang untuk bertaubat sehingga aku dapat melakukannya.
Berilah aku kemaafan, aku telah berbalut den bergelumang dosa.
Matikanlah aku dalam agama Nabi Muhammad SAW.
Hidupkanlah hatiku pada hari hidupnya segala hati (kekasih Mu)

Wahai Tuhan Yang Maha Penyembuh Penyakit, Ubatilah hatiku,
Wahai Tuhanku, aku tetap melakukan muhasabah terhadap perintah-Mu.
Dan sembuhkanlah hatiku daripada apa yang telah membalut atau menyelubunginya.
Sesungguhnya penyakitku telah membinggungkan para pakar perubatan.

Wahai Tuhanku, berilah aku peluang untuk dekat kepada-Mu.
Mustahillah berlaku bahawa aku menggantungkan harapan kepada-Mu lalu aku menemui kehampaan.
Maafkanlah kesilapanku, belas kasihanlah  terhadapku  agar aku hampir dengan Mu.
Sesungguhnya penyakitku hanya sembuh dan pulih dengan menghampiri-Mu.

Celakalah malam yang aku padanya berbuat maksiat terhadap-Mu.
Malam tersebut telah menganggu keselesaan dan tidur yang nyenyak, dosa pada malam itu telah menjadi nasib malangku.
Tidak ada alasanku lagi, aku sungguh telah berbuat maksiat terhadap-Mu disebabkan kejahilan.
Bertapa aku tidak menaruh rasa malu, sedangk Engkaulah satu-satunya yang sentiasa mengamat-amatiku.


Pernahkah kita bermonolog sendirian, memikirkan bertapa jauhnya kita dari Allah..?
Meluahkan rasa yang terbuku didalam hati, tentang penyesalan terhadap kelalaian diri terhadap Allah..?
Bermuhasabah diri, setakat manakah kita telah melakukan perintahNya dan mampu meninggalkan segala laranganya..
Yang selama ini terbit didalam fikiran kita hanyalah perkara-perkara keduniaan yang tidak memberikan keuntungan kepada kita di Negeri Akhirat....
Lalai dalam mencari kesenangan dunia sehingga melupakan bekalan untuk kesenangan di Akhirat....

Bersamalah kita memperbanyakan Muhasabah..... Sebelum kita terlambat...  Untuk Melakukan Taubat....


19 April 2011

Gejala Sosial Tanggungjawab Siapa?


Permasalahan gejala sosial merupakan isu sejagat yang melanda kehidupan manusia di sepanjang zaman. Porak-peranda kehidupan masyarakat adalah berpunca daripada wujudnya golongan yang rosak akhlak, dengan membelakangkan agama dan mengutamakan runtunan hawa nafsu.

Fenomena-fenomena keruntuhan akhlak dijelmakan melalui tabiat mensyirikkan Allah, menagih arak, berjudi, berzina, memperalatkan wanita, berpoya-poya, cintakan hiburan yang melampau dan sebagainya. Di sepanjang zaman Rasul dan Nabi telah diutuskan oleh Allah S.W.T untuk membimbing manusia ke arah kehidupan yang mulia dan berakhlak. Demikianlah juga Nabi kita Muhamad S.A.W diutuskan hanyalah semata-mata untuk memperbaiki akhlak yang mulia dan terpuji. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang berbunyi :

"إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ."

Bermaksud : “Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan Akhlak kamu.”
Di negara kita, hampir setiap hari dilaporkan oleh media massa akan pelbagai fenomena gejala sosial yang sedang melanda masyarakat. Perlakuan buruk ini bukan hanya melibatkan golongan remaja tetapi juga di kalangan dewasa. Di antara beberapa fenomena gejala sosial yang amat membimbangkan kita ialah penagihan dadah, penagihan arak, bohsia, pergaulan seks bebas, mat rempit, penderaan kanak-kanak, rogol, suka melepak dan sebagainya.

Fenomena ini telah mengancam pembangunan dan kesejahteraan hidup di Negara kita. Di peringkat keluarga permasalahan ini telah menjejas masa depan sesebuah keluarga, kerana diganggu gugat oleh anggota keluarga yang rosak akhlak. Ibu bapa berhadapan dengan pelbagai masalah seperti tekanan hidup dan kehabisan harta benda kerana ancaman kehendak nafsu jahat di kalangan segelintir anak-anak.

Di peringkat masyarakat, gejala sosial ini telah mengancam kebahagian dan kesejahteraan hidup, kerana terpaksa menghadapi ancaman dan gangguan golongan perosak masyarakat ini.

Di peringkat Negara, penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai kegiatan yang tidak bermoral bukan sahaja membazirkan jutaan wang ringgit, malah hilangnya tenaga-tenaga pelapis yang sepatutnya mewarisi kepimpinan Negara. Mengikut laporan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan, sebanyak RM19 juta setahun dibelanjakan untuk pemulihan penagih-penagih dadah di seluruh Negara. Manakala Majlis Aids Negara pula membelanjakan sejumlah RM40 juta setahun untuk mangsa-mangsa Aids di seluruh Negara. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab semua anggota masyarakat agar menangani masalah ini daripada terus berleluasa. Adalah tidak wajar sama sekali di kalangan kita saling menuding jari menyalahkan satu sama lain tanpa memberikan sebarang sumbangan dalam menghadapi ancaman ini.

Berdasarkan penyelidikan daripada beberapa pihak, didapati masalah keruntuhan akhlak di sebabkan oleh pelbagai punca yang kait mengait. Di antaranya ialah kurangnya pengetahuan agama di kalangan anggota masyarakat, kurang prihatin di kalangan segelintir ibu bapa terhadap anak-anak, pengaruh media massa dalam pelbagai aktiviti hiburan yang melampau, kemunculan pusat-pusat hiburan yang tidak terkawal, pengaruh persekitaran, sikap hidup masyarakat yang individualistik, dan lain-lain lagi.

Oleh kerana itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada mana-mana pihak yang menjadi penyebab kepada suburnya gejala sosial ini, agar membuat muhasabah segera, bagi mengenal pasti kelemahan dan kesilapan masing–masing yang menyebabkan terjerumusnya sebahagian anggota masyarakat ke dalam kemelut gejala sosial. Disamping menentukan pelan tindakan ke arah mengurangkan kemunculan fenomena ini.

Sebagai Muslim kita perlu insaf bahawa, Islam mewajibkan kita sentiasa menghayati dan melakukan kebajikan dalam apa jua kegiatan di dunia ini samada di bidang ekonomi, politik, penyiaran, pendidikan, hiburan, sukan, dan sebagainya. Disamping menegah sama sekali segala apa jua keburukan dalam segenap gerak kerja harian. Banyak ayat Al-Quran memberi amaran bahwa Allah S.W.T akan mengadili hamba-hamba-Nya walau pun kebajikan yang dilakukan itu sebesar zarah atau kejahatan yang dilakukan itu sebesar zarah atau atom.

Firman Allah didalam Surah Al-Zalzalah ayat : 7-8 yang bermaksud:
 “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah nescaya dia akan melihat balasannya dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah nescaya dia akan melihat balasannya pula.”

Sesungguhnya syariat Islam yang serba lengkap ini menyediakan pelbagai panduan kepada kita dalam melaksanakan aktiviti–aktiviti dalam kehidupan duniawi. Menghayati sepenuhnya panduan Syariat Islam dalam sebarang kegiatan akan menjamin kebahagian dan kesejahteraan kepada semua pihak di dunia dan di akhirat. Manakala membelakangi tuntutan Syariat dalam sebarang kegiatan, walaupun kadang-kadang penganjur sesuatu program memperolehi keuntungan, namun majoriti anggota masyarakat di landa kemusnahan.

Firma Allah didalam Surah Ali-Imran ayat : 112 yang bermaksud:
”Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia.”

Sebenarnya banyak cara untuk mengatasi berlakunya gejala sosial ini. Antaranya ialah mempertingkatkan program penyebaran Islam kepada seluruh lapisan umat Islam di seluruh negara secara terancang, komited dan konsisten. Kerjasama yang bersepadu di antara agensi kerajaan dan NGO perlu digerakkan untuk melaksanakan program ini. Pentingnya usaha dakwah ini banyak diperingatkan oleh Allah S.W.T. dalam Quran.

Firman Allah dalam surah an-Nahli ayat 125 yang bermaksud :
“Serulah manusia kepada jalan tuhan mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”


Permasalahan keruntuhan akhlak pelbagai lapisan masyarakat juga dapat dikurangkan jika semua pihak memahami dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai pemikul amanah Allah, iaitu kewajipan memakmurkan dunia ini dengan dasar, nilai dan falsafah keagamaan. Adalah menjadi tanggungjawab setiap muslim, walau dari apa juga latarbelakang kerjaya memikul amanah Allah dengan mempastikan apa jua aktiviti dan kegiatan mestilah berlandaskan semangat ibadah.

Sesungguhnya tuntutan membina nilai agama dalam kehidupan ini adalah tanggungjwawab setiap muslim tidak kira samada mereka ahli politik, saintis, tokoh budaya, tokoh sukan, para usahawan dan sebagainya. Allah S.W.T. mewajibkan setiap Muslim menjadikan ajaran Islam sebagai dasar, nilai, dan falsafah dalam perlaksanaan kerjaya dan profesion masing-masing. Allah menegah sama sekali dasar-dasar dan nilai buruk dalam perlaksanaan apa juga kerjaya. Penghayatan prinsip ini akan dapat membentuk persekitaran yang didominasi oleh pengaruh agama. Renungilah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 :

Yang Bermaksud : “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

Ayat di atas dengan jelas mengingatkan bahawa setiap Muslim berperanan sebagai pendokong amalan kebaikan dan pencegah kegiatan-kegiatan mungkar.

Satu lagi kaedah yang di percayai berkesan dalam menangani gejala sosial ini ialah melalui perlaksanaan Amar makruf dan Nahi mungkar.

Kesedaran melaksanakan amar maaruf semakin lemah mutakhair ini, lazimkanlah budaya mengambil tahu permasalahan orang lain yang bertujuan untuk menyelamat dan membahagiakan orang lain, sepertimana keselamatan dan kebahgian yang kita inginkan. Inilah sebenarnya prinsip hidup bermasyarakat yang telah mengangkat martabat umat Islam di zaman kegemilangannya.

Marilah sama-sama kita menginsafi kekurangan dan kelemahan kita selama ini dalam melaksanakan kewajipan kita sebagai pemikul amanah Allah, sehingga kita dihadapkan dengan ancaman gejala sosial yang mengerunkan ini. Mudah-mudahan dengan keinsafan itu, kita akan mengorak langkah secara bersepadu untuk menghadapi ancaman gejala sosial yang semakin parah ini.

Renunglah firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hujurat 10 :

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudara-saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”

Kasih Sayang Pembentuk Kebahagian Keluarga

Intitusi Keluarga merupakan asas pembinaan sesebuah masyarakat. Maju dan bahagiannya sesebuah masyarakat itu amat bergantung kepada Intitusi Keluarga yang berkualiti. Justeru itu syariat Islam menjadikan perkahwinan sebagai satu peraturan yang wajib di hayati, demi menjamin kerukunan hidup berumah tangga.

Perkara ini telah di nyatakan oleh Allah S.W.T dalam surah Ar-rum ayat 21 yang bermaksud:

”Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah dan rahmatMu, bahawa dialah yang menciptakan untuk kamu kaum lelaki (isteri-isteri dari jenis kaum kamu sendiri) supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan di jadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

Islam adalah agama yang mementingkan hubungan kasih sayang. Kasih sayang adalah fitrah semua jadi yang Allah bekalkan di dalam naluri setiap insan. Ini bererti kasih sayang tidak mengenal waktu, jarak, tempat kedudukan dan pangkat. Dengan sebab itu, Allah S.W.T meletakkan syarat untuk memperolehi rahmatnya adalah dengan berkasih sayang antara sesama manusia. Ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang berbunyi:

Rasulullah SAW bersabda:

" مَنْ لاَ يَرْحَمِ النَّاسَ لاَ يَرْحَمْهُ اللهُ "

Maksudnya : ”Barang siapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya.”

(H.R. Al-Termizi)

Hadis di atas menekankan kepada umat Islam agar hidup berkasih sayang dan sentiasa memelihara persaudaraan, dengan jaminan kurniaan rahmat oleh Allah s.w.t kepada mereka yang berakhlak penyayang.

Sifat kasih sayang amat penting dan begitu di tekankan oleh islam khususnya dalam pembinaan sebuah keluarga bahagia. Bagi memperolehi kasih sayang yang sebenar dalam kehidupan sebuah rumah tangga seseorang itu perlu menjalinkan hubungan yang harmonis di antara seluruh anggota keluarga dengan sentiasa kasih mengasihi, saling menghormati serta bantu membantu di antara satu sama lain. Semua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Terdapat beberapa faktor yang dapat menyuburkan kasih sayang untuk pembinaan sebuah keluarga bahagia. Antaranya ialah:

Pertama,
Faktor Kasih Sayang Antara Suami dan Isteri

Sebuah keluarga yang bersifat mawaddah dan rahmah bermula daripada ikatan perkahwinan. Bagi melahirkan kasih sayang yang sebenar di antara suami dan isteri kedua-dua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggung jawab masing-masing. Isteri bertanggungjawab melayani dan mentaati suami manakala suami pula berperanan sebagai pelindung dan tempat bergantung isteri dan ahli keluarga. Islam juga menganjurkan para suami agar sentiasa bergaul dengan isteri secara maaruf ( baik).

Allah menegaskan hal ini dalam surah An-nisa ayat 19 yang bermaksud:
”Wahai orang2 beriman tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan2 dgn jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka dengan menahan dan menyusahkan mereka kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali apabila mereka telah melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu merasa benci dengan mereka di sebabkan dengan tingkahlaku mereka, jgnlah pula kamu terburu-buru menceraikannya kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebajikan yang banyak bagi kamu.”

Hakikat ini diperjelaskan lagi dgn sabda baginda baginda S.A.W yang berbunyi:

" خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَاَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِيْ "

Maksudnya : ”Sebaik-baik di kalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang paling baik pada isteriku..”  

(Hadis Riwayat Al-Termizi)


Kedua:
Kasih Sayang Antara Anak-anak Dengan Ibubapa.

Sebagaimana ibu dan bapa memberikan kasih sayangnya kepada anak-anak, maka islam juga menganjurkan supaya anak-anak juga memberikan kasih sayang terhadap kedua ibu bapa mereka. Tegasnya anak-anak mestilah menyayangi dan mengasihi ibu bapa, mematuhi segala perintah dan nasihat keduanya, mengunakan kata-kata yang lemah lembut serta beradab, tidak menyinggung perasaan dan menyakitkan hati kedua ibubapa.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud:
”Dan tuhanmu telah perintahkan supaya tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan ”Ahhh...” dan janganlah engkau mengherdik mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Anak-anak mestilah menunjukkan tanda kesyukuran dan rasa berterima kasih terhadap jasa kedua orang tuanya yang sudah bersusah payah mendidik dan membesarkannya dengan cara sentiasa bertanya khabar dan mengambil berat kepada kedua ibubapa, lebih-lebih lagi kepada kedua ibu bapa yang lemah dan uzur. Adalah menjadi kewajipan kepada anak-anak memperuntukkan masa khas untuk memenuhi keperluan ibubapa dari segi makan minum, pakaian, perubatan dan kasih sayang sebagaimana mereka berikan kepada kita sewaktu kita kecil dahulu. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan kedua ibubapa kita tidak mampu membalasnya, walau dengan apa pun sumbangan yang kita berikan kepada mereka.

Firman Allah dalam surah Al-Lukman ayat 14:
Maksudnya : ”Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan yang demikian itu, Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibubapamu dan kepadaku jua tempat kembali.”

Oleh itu janganlah kita leka dengan kehidupan dan tugas-tugas seharian sehingga kita lupa akan tanggungjawab kita sebagai seorang anak lebih-lebih lagi apabila ibubapa kita telah meninggal dunia. Sebagai anak yang soleh maka hendaklah kita selalu berdoa kepada keduanya.

Sebagaimana Firman Allah dalam surah Isra’ ayat 24 yang bermaksud:
”Wahai tuhanku ampunkanlah dosaku dan dosa kedua ibubapaku serta kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku semasa aku kecil.”

Ketiga:
Adanya hubungan kejiranan yang baik.

Islam senantiasa menganjurkan supaya umatnya menjalin hubungan kasih sayang, silaturahim dan saling membantu antara satu sama lain. Kasih sayang itu bukan sekadar perlu dipupuk antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak serta anak dan ibu bapa saja, tetapi silaturahim terhadap saudara yang lain termasuk jiran tetangga juga sangat digalakkan oleh Islam karena hasil dari ikatan kemesraan itu akan melahirkan kekuatan ummah yang padu. Adalah wajar amalan hormat-menghormati dan tolak ansur di antara jiran tetangga di tingkatkan kerana ianya boleh melahirkan kehidupan yang harmonis dan sekaligus dapat membangunkan intitusi keluarga masing-masing.

Ini di jelas oleh Allah dalam surah An-nisa ayat ayat 36 Allah berfirman yang bermaksud:
”Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlan kamu mempersekutukannya dengan suatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jauh dan rakan sejawat dan orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sehaya yang kamu miliki sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”

Sebagai kesimpulannya marilah sama-sama kita menyuburkan budaya kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, mudah-mudahan kita akan di rahmati Allah S.W.T.

17 April 2011

Hanya keranaMU

Dalam sujudku padaMU
Dengan penuh pengabdian
Dengan penuh penyesalan
Hanya mengharapkan keredhaanMU
Agar KAU terima segala dosaKU

Aku bermegah diduniaMU
Aku bermegah dengan kekayaanku
Dengan cinta makhlukMU
Aku riak, aku takkabur
Aku lupa segala nikmat iman dan islam ku

Ku akui salahku yang lalu
Ku akui segalanya tentangku
Nikmat yang tercipta ku biarkan berlalu
Tanpa ku ambil sedikit pun tentangMu

Manakan mampu ku hidup tanpaMU
Menghirup udaraMU
Dan segala nikmatMU
Tanpa rasa syukur ku padaMU
Aku malu..aku malu...
Aku MALU padaMU..


Nikmat apa lagi yang telah ku dustakan.??

Ya Allah..
Ya Allah...
Ya Allah.....
Kepadamu ku memohon taubat
Kemapunan..kekesalan..dan pengharapan
Sesuatu perkara kan ku kembalikan padaMU
Satu cinta hanya untukMU...

Biar matiku hanya keranaMU
Biar jasadku mati didlam jihadMU
Biar lidahku bersuara menegakkan kebenaranMU
Hanya keranaMU ,,YANG KU RINDU.




11 April 2011

Masa

Masa...!!!
Kau berlalu terlalu pantas,
Seminggu berlalu dirasakan sehari, 
Sebulan berlalu bagaikan seminggu,
Tanpa kita sedari,
Tahun ke tahun silih berganti
Detik-detik masa seumur hidup,
Kalian rasakan umpama dalam impian.

Semua yang hidup bagai dalam bahtera pelayaran, 
Setiap hari dan bulan, kian jauh dalam perjalanan. 
Berhari bermalam semuanya bagai dalam impian,
Dunia akan tetap ditinggalkan,
Akhirnya kubur jua yang berdekatan

Hidup berakhir dengan kematian, 
Panjang, pendek.....
Kesudahanya sama


22 Mei 2010

Baik sangat dah ke kita ini.. . sambungan..

Rasulullah juga ada bersabda didalam hadisnya yang mengambarkan sifat-sifat orang mukmin dengan pelbagai sifat.  Sesiapa yang memiliki sifat-sifat  seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah itulah pemiliknya adalah orang yang mempunyai sifat dan akhlak yang baik. Hadis tersebut bermaksud:

" Tidak beriman seseorang hamba itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri" 
(Riwayat Al-bukhari dan Muslim).

Juga disebut daripada hadis Abu Hurairah daripada Rasulullah baginda bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menghormati tetamunya dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia tidak menyakiti hati jiran tetangganya dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia mengatakan yang baik-baik atau hendaklah dia diam sahaja"

Sabda rasulullah yang lain yang diriwayatkan oleh Tarmidzi dan Abu Daud yang bermaksud:
"Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling  baik akhlaknya diantara mereka."

Pernah suatu hari, suatu peristiwa berlaku diamana seorang Arab datang kepada Nabi Muhammad lalu menarik jubah Nabi sehingga menyebabkan luka pada bahu baginda, kemudaian orang Arab itu berkata kepada Nabi: " Hai Muhammad, serahkalah kepadaku daripada harta Allah s.w.t yang ada padamu!."  Baginda memandag kearah orang itu sambil tersenyum, lalu memberinya apa yang diminta. (Diriwaytkan Al Bukhari dan Muslim)

Jika orang menyeksa baginda, maka  baginda akan berdoa ertinya: " Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana mereka tidak mengetahui." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kisah Uwais Al-Qarni yang dilempar batu oleh kanak-kanak, maka dia berkata: " Wahai saudara-saudaraku, jika memang tidak ada pilihan yang lain, maka bolehlah kamu melimpari ku tetapi gunalah batu yang lebih kecil, agar betisku tidak berdarah sehingga menyebabkan aku tidak boleh melakukan solat."

Pada suata hari Ibrahim bin Adham pergi ke tanah lembah, lalu dia terserempak dengan prajurit perang. Prajurit perang itu bertanya kepadanya: "Dimanakah ada tempat yang baik?". Lalu Ibrahim menunjukkan kearah kubur yang dekat dengannya. Prajurit itu terus memukul kepala Ibrahim kerana teramat geram. setelah ada orang lain yang memberitahu kepada prajurit itu bahawa orang yang dipukulnya itu ialah Ibrahim bin Adham, maka prajurit itu menyesal akan perbuatanya lalu memeluk tangan dan kaki Ibrahim.  Lalu Ibrahim berkata : " Ketika kepalaku dipukul, aku memohon syurga bagi orang memukulku kepada Allah, Aku sudah memperingat diriku disaat aku dipukul, bahawa jangan sampai aku mendapat kebaikan kerana kejadian itu, sedangkan dia mendapat akibat yang buruk."

Itulah gambaran jiwa yang dapat merendahkan diri kerana latihan sehingga akhlak mereka menjadi baik dan batinya tidak terpedaya lalu menghasikan keredaan terhadap takdir, siapa yang tidak memiliki sifat-sifat seperti mereka miliki ini, maka dia harus rajin melatih diri dan lama kelamaan tentu dapat mencapainya.

18 Mei 2010

Baik sangat ke kita ni...?

Mungkin kita telah berusaha untuk memperbaiki jiwa sehingga kita dapat meninggalkan perkara-perkara yang keji dan jahat. Maka dengan itu kita menganggap diri kita ini baik dan sempurna sudah. Tidak perlu lagi berusaha untuk terus memperbaikinya agar menjadi antara yang terbaik.  semua itu adalah salah. Ini kerana akhlak yang baik itu merupakan kumpulan sifat-sifat orang mukmin, sebagaimana yang digambarkan oleh Allah didalam firmanNya yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah s.w.t. gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada  Rabblah mereka bertawakkal, (iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian sumber rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperolihi beberapa darjat ketinggian disisi Rabbnya dan keampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia."
(Al-Anfal : 2-4)

Firman Allah yang Bermaksud:
" Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk didalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna dan orang-orang yang menunaikan zakat dan orang-orang yang menjaga kemaluanya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka di dalam hal ini tidak tercela. barangsiapa mencari yang selain itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampau batas. Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang mewarisi, (iaitu) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya." 'Dan hamba-hamba yang baik daripada Rabb Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang berjalan diatas bumi dengan rendah diri dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, maka mereka akan mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan."
(Al-Furqan : 63)

Sekiranya kita merasakan susah untuk menilai dan mengukur tahap mana diri kita, maka hendaklah kita membandingkan diri kita dengan ayat-ayat yang dinyatakan diatas tadi. sekiranya kita mempunyai sifat-sifat ini, maka insyaallah kita mempunyai akhlak-akhlak yang baik dan sekirany tiada sifat-sifat yang dinyatakan tadi, maka ada sesuatu yamg kurang yang perlu diperbaiki lagi akhlak kita itu. Jangan terlalu cepat berpuas hati dengan kebaikan yang kita lakukan. tetapi sekiranya sifat-sifat diatas itu telah kita miliki maka hendaklah kita menjaganya sebaik mungkin dan diteruskan  usaha utuk lebih memperbaikinya...... akan bersambung lagi nanti.. insyaallah

17 Mei 2010

Kunci pintu hati ... agar tidak dibolosi syaitan..

Jika didalam hati kita masih ada perasaan dan sifat yang dinyatakan diantara pintu-pintu yang mudah untuk di masuki oleh syaitan. Maka kita perlu menyediakn kuncinya-kuncinya agar ia tidak dapat dimasuki malah dihampirinya pun syaitan tidak berkeinginan.

Kita umpamakan syaitan ini seperti seekor anjing yang sedang kelaparan, jika ditangan kita ada makanan kegemaranya, nescaya dia akan menghampiri kita. Walau pun di halau dengan kata-kata (sikak, sikak.. perkataan orang Tamparuli ketika menghalau anjing) ia tidak akan membuatkan anjing itu lari dari kita. Dia tetap akan menunggu dan terus menunggu, dan sekiranya berkesempatan, ia akan merampasnya dari kita. Tetapi sebaliknya, sekiranya ditangan kita tiada apa yang membuatkan ia tertarik, nescaya dia tidak akan menghampiri kita.  Hati yang kosong hanya akan menjadi santapan syaitan.

Syaitan akan pergi meninggalkan kita sekiranya kita banyak berzikir mengingati Allah. Tetapi hati yang dikuasai oleh hawa nafsu, zikir tidak banyak dapat membantu menghalau syaitan yang sudah menguasai lubuk hati kita. cuba kita ingat semula, ketika kita solat, lihat bagaimana syaitan menggoda kita, ketika itulah kita akan ingat pasal memancing, pasal Facebook, pasal play station, pasal komputer atau ape sahaja yang menjadi minat seseorang. Semua urusan dunia yang melalaikan kita.

Memang ada usaha atau ikhtiar terhadap apa yang terlintas didalam jiwa kita. Tapi itu semua bergantug kepada niat kita. Barangsiapa yang meninggalkan apa yang terlintas di fikiran kerana takut kepada Allah maka nescaya dia akan mendapat satu kebaikan. Tetapi sekiranya kita meninggalkan kerana sesuatu yang menghalangnya, perbanyakkan lah  berdoa agar kita mendapat keampunanNya. semua perbuatan kita bergantung kepada niat. sekiranya kita berniat untk melakukan kejahatan atau kesalahan, ia adalah merupakan kesalahan. seperti sabda Rasulullah : "Jika dua orang muslim saling berhadapan dengan pedang masing-masing, maka yang membunuh dan yang di bunih berada didalam neraka." Ada yang bertanya: "Lalu bagaimana dengan orang yang di bunuh?" Baginda menjawab: "Kerana dia juga berniat untuk membunuh rakanya."

Bagaiman mungkin tidak ada hukuman terhadap niat sedangkan semua amalan bergantung kepada niat? Apakah sikap sombong, riak dan ujub hanya sekadar urusan batin? Jika seseorang lelaki melihat isterinya diatas katil tetapi menganggap isterinya itu adalah wanita lain maka dia dianggap berdosa menyetubuhinya. semua ini berkaitan dengan hati..

Hati adah punca kepada segala-galanya.. sekiranya hati itu baik, maka baiklah seluruh anggotanya tetapi sekiranya hati itu rosak, maka rosaklah selurah anggota manusia itu.....

16 Mei 2010

Hati dan pintu-pintunya....

Hati adalah sesuai dengan fitrahnya, sedia menerima hidayah dan juga cepat tergoda dengan nafsu sahwat. Pertikaian didalam hati antara pasukan malaikat dan pasukan syaitan terus berlaku dan dan akan membuatkan hati akan condong kearah salah satu daripada keduanya. manakala yang satu lagi akan akan terhapus dan kalah. seperti frman allah yang bermaksud: " Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa tersembunyi."  (An-Nas :4)

Golongan orang yang sentiasa kalah dengan hasutan syaitan akan merasa seperti mahu melarikan diri dan tidak mahu mendengar apabila diingatkan dengan perkara-perkara berkaitan dengan Allah s.w.t dan akan merasa amat senang dan selesa jika berbicara perkara-perkara berkaitan dengan keseronokan dunia yang tidak menguntungkan ketika berada diakhirat kelak. Syaitan tidak akan keluar dari hati melainkan sekiranya kita sentiasa ingat kepada Allah dan sebaliknya, apabila hati tidak lagi mengingati Allah, maka hati adalah tempat paling selesa bagi syaitan untuk terus menginap dan mendiaminya.


Hati dibarat kan seberti sebuah benteng, dinding atau tembok. Syaitan pula adalah musuh yang sentiasa cuba berusa sedaya upaya untuk mamasuki dalam kawasan benteng tersebut. Pada setiap benteng akan dibuat atau disediakan pintu-pintu, sekiranya pintu-pintu tersebut tidak kukuh dan mudah untuk dibuka dan dicerobohi,  maka amat mudahlah bagi syaitan untuk memasukinya. oleh itu, sekiranya kita tidak mengetahui pintu mana yang boleh ditembusi oleh syaitan, maka kita tidak dapat mengusir syaitan tersebut untuk keluar dari dalamnya. Pintu-pintu tersebut dibaratkan seperti sifat-sifat manusia yang bilangannya amat banyak dan pelbagai. Mari kita cuba kenali apakah dia pintu-pintu tersebut, ianya bukanlah terlalu besar dan juga tidak terlalu sempit untuk dilalui oleh syaitan. diantara pintu-pintu yang amat mudah untuk dilalui oleh syaitan adalah seperti berikut:
  • Iri hati, dengki dan keinginan.: Selagi kita berkeinginan terhadap sesuatu, maka keinginan itu membuatkan kita menjadi buta dan tuli, menutup penglihatan kita yang terkadang kita sendiri menyedarinya. Begitu juga jika kita mempunyai perasaan dengki, maka syaitan akan mendapat peluang yang terbesar. apa sahaja yang hendak di capai atau miliki pasti akan dilakukan meskipun ianya perbuatan keji dan mungkar.
  •  Amarah : Syahway dan keras hati, amarah merupaka bencana kepada akal. Jika akal kita sudah menjadi lemah, saat itulah syaitan dapat memainkan perananya didalam diri kita. Diriwayatkan bahawa Iblis pernah berkata: "Jika manusia keras hati, maka kami dapat membaliknya  sebagaimana kanak-kanak yang membalik bola."
  • Suka mencantikan rumah, pakaian dan perabut: seseorang yang sentiasa terdorong untuk mencantikan rumahnya, mengubah halaman rumahnya agar kelihatan cantik,  merekabentuk dinding dan bermacam-macam lagi bagi tujuan mencantikan rumah. Tidak ketinggalan juga dibahagian dalam rumah, dihiasi dengan perabut dan sofa yang mahal-mahal dan besar. Begitu juga didalam berpakaian, sentiasa mencari yang cantik-cantik dan mahal. Maka sepanjang hayatnya dia akan rugi kerana terpengaruh dengan pujukan dan hasutan syaitan.
  • Kenyang: Apabila perut sentiasa terlalu kenyang akan membuatkan manusia menjadi lemah selain itu ia meningkatkan nafsu sahwat dan seterusnya lalai dan malas untuk melakukan perkara-perkara ketaatan kepada Allah.
  • Tamak terhadap orang lain:  jika seseorang tamak terhadap orang lain, maka dia akan memuji-muji tidak menentu, berbaik-baik dengan tujuan tertentu, tidak menyuruhnya kepada yang maaruf dan tidak juga menegahnya dari perkara yang mungkar.
  • Terburu-buru : Tidak berhati-hati dan tidak memiliki keteguhan hati. Rasulullah s.a.w bersabda : " Terburu-buru itu daripada syaitan dan berhati-hati itu daripada Allah s.w.t."
  • Cinta terhadap harta: Apabila cinta terhadap harta melebihi segalanya, maka dia dapat merosakkan hati, dan akan terus mendorongnya agar terus mencari dan mengumpul harta tanpa memikirkan halal haramnya, membuatkan mereka menjadi kedekut, takut miskin dan enggan mengeluarkan zakat atau melakukan sedekah dengan hartanya.
  • Membawa orang-orang yang tidak berilmu kepada fanatisma mazhab tanpa melakukan amalan yang sepatutnya.
  • Membawa orang-orang memikirkan tentang dzat Allah, sifat-sifat Nya dan masalah-masalah yang sebenarnya  diluar kemampuan akal mereka sehingga membuatkan mereka ragu-ragu terhadap dasar agama.
  • Buruk sangka terhadap sesama Muslim ; Sering mengata dan menghina sesama muslim dan seterusnya menganggap bahawa dirinya adalah manusia yang terbaik.  Pernah disebut bahawa orang mukmin adalah orang yang memaafkan mukmin lain sedangkan orang yang munafik adalah orang yang sering mencari keburukan dan kesalahan orang lain. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati supaya kita tidak di sangka yang bukan-bukan.
Inilah beberapa pintu yang paling mudah untuk dimasuki oleh syaitan ke dalam hati kita sebagai manusia. Jika kita renungkan, sekarang ini kita sanggup membeli kunci atau mangga yang mahal-mahal, siap dengan pasang grail di setiap pintu bagi tujuan menjaga rumah kita dari dimasuki pencuri, Tetapi pernahkah kita terfikir untuk menyediakan kunci bagi menghalang pintu hati kita dari dicerobohi oleh syaitan laknatullah....

Jalan penyelamatnya ialah dengan cara kita menutup pintu-pintu tersebut serapat yang mungkin agar kita dapat menjaga hati kita dari sifat-sifat yang tercela....  bagaimana cara untuk kita menguncinya dengan rapat.. akan saya cuba tuliskan di masa akan datang... Insyaallah

04 Mei 2010

Banyak dah ke bekalan kita..

Perjalanan kita menuju akhirat terlalu jauh dan memerlukan banyak bekalan. Bekalan yang paling baik ialah takwa. Didalam kehidupan ini, kita memerlukan bekalan yang besar untuk bermusafir dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur atau ke Temerloh atau mana-mana tempat yang dianggap jauh.Tidak masuk akal kalau kita hanya berbekalkan Rm. 20.00. Cukup ke agaknya bekalan sebanyak itu. Apatah lagi dengan diri kita ini yang hendak kembali ke akhirat dengan tidak membawa apa-apa bekalan.

Biasanya bekalan dibuat lebih awal daripada tarikh kita hendak bertolak ke sesuatu tempat atau destinasi. Jarang sekali orang menyediakan bekalan pada saat akhir, kerana mereka tahu, saat tersebut akan berlaku suasana kelam kabut dan banyak benda yang akan tertinggal dan hanya diingati setelah berada didalam perjalanan.

Semakin awal bekalan disediakan, semakin banyak dan besarlah bekalan itu manakala sebaliknya, semakin lewat bekalan disediakan semakin kecillah bekalan tersebut. Ibarat seperti orang yang melabur wangnya di bank tertentu dengan jumlah yang besar dan melibatkan tempoh yang lama, sudah tentu keuntungan yang bakal diperolihinya juga akan menjadi besar dan orang yang lewat melabur beerti keuntungan yang diperolihinya adalah kecil berbanding dengan orang yang lebih dahulu melabur.

Firman Allah yang bermaksud :
"... dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)."
(al-Baqarah : 197)

Bermakna orang yang tidak melakukan ibadah langsung atau malas melakukan ibadah sehingga luput waktu ibadah itu dari masa yang ditetapkan, adalah orang yang rugi dan tidak mempunyai bekalan mantap untuk dibawa ke Akhirat.

Saidina Ali  pernah menyatakan:
Sesiapa yang rindu kepada syurga, hendaklah segera melakukan kebaikan, sesiapa yang takut kepada neraka, hendaklah berhenti dari mengikut hawa nafsu syahwat. Sesiapa yang yakin dengan kematian, musnahlah pada pandangannya segala kelazatan dan keseronokan dunia dan sesiapa yang kenal dunia, akan mudah baginya menghadapi segala musibah didunia.

Hatim al-Asammi pernah menyatakan:
Empat perkara yang tidak diketahui nilainya yang sebenar melainkan oleh empat jenis manusia:
  1. Keremajaan  umur tidak diketahui nilainya sebenar melainkan oleh orang tua.
  2. Kesejahteraan  tidak diketahui nilainya yang sebenar melainkan oleh seorang yang terkena bala.
  3. Kesihatan  tidak diketahui nilainya yang sebenar melainkan oleh orang yang sakit.
  4. Hidup  tidak di kenali nilainya yang sebenar melainkan oleh orang yang mati. 
Penyediaan bekalan disini, ada kaitan rapat dengan buku catatan amalan yang akan dibaca oleh seseorang di padang Mahsyar, setelah dibangkitkan daripada kubur. Ini  kerana setiap amalan dan ibadah yang dilakukan, akan dicatat pada buku catatan amalan tersebut dan Malaikat yang mencatatnya sesekali tidak akan menyelewengkanya walaupun satu huruf.. Saat pembacaan buku catatan amalan ini, merupakan saat yang sangat menakutkan dan mengerunkan seseorang. Firman Allah yang bermaksud:

"(Lalu Kami perintahkan kepadanya): "Bacalah Kitab (Suratan amalan), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan). "Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatanya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tidaklah kami mengazabkan sesiapa sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)."
(Al-Israk : 14-15)



Setiap amalan kebaikan yang kita lakukan tidaklah sia-sia, malah ia merupakan bekalan yang amat berguna, semakin banyak bekalan semakin senaglah kita menempuh hari Hisab kita. Tidak rugi kita menyediakan bekalan yang banyak bagi musafir kita ke Akhirat, tapi kita akan rugi sekiranya membawa bekalan yang banyak sekiranya kita menaiki kapal terbang (setiap kilo yang di bawak perlu di bayar). Semakin banyak bekalan yang di sediakan untuk dibawa ke sana semakin beruntunglah si pengumpulnya....

03 Mei 2010

Benar didalam kebenaran...

Adakah semua perbuatan dan perlakuan kita selama ini benar-benar lahir dari hati yang ikhlas kerana Allah, atau hanya sekadar mahu menunjuk-nunjuk akan kehebatan diri kita sendiri. Sama sama kita ukur dan sukat kebenara diri kita, Sebagai manusia biasa, rasanya kita ini tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan kesilapan, tetapi masih belum terlambat untuk kita sama-sama memperbaiki diri dan seterusnya tidak mengulangi kesalahan yang sama. Untuk itu cuba kita baca dan fikirkan, dimanakah kedudukan kita didalam melakukan kebenaran ini..

Menurut Ibn Taimiyyah, benar dan ikhlas adalah merupakan bukti kebenaran iman dan Islam seseorang. Ini kerana orang-orang yang menzahirkan Islam terbahagi kepada dua bahagian iaitu beriman dan munafik. Perbezaan antara orang yang beriman dengan orang munafiq ialah benar. Kerana itu tidak hairanlah apabila Allah s.w.t mengaitkan iman dengan sifat benar..
Firman allah yang bermaksud " Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imanya)"
(Al-Hujurat : 15)

Antara bentuk benar ialah :
  • Benar dengan Allah, seseorang mesti benar dengan Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, menerima syariatNya dengan lapang dada dan berusaha melaksanakanya didalam diri sendiri, rumah tangga, masyarakat dan juga negara.

  • Benar dengan Rasulullah. seseorang Islam mesti benar-benar dengan Rasulullah s.a.w iaitu ikhlas didalam mengikuti  sunnah baginda, mempertahankanya dan menyampaikan sunnah itu kepada orang lain.

  • Benar didalam percakapan. seseorang islam tidak akan bercakap perkara-perkara yang tidak benar dan apabila memberitahu, tidak akan memberitahu sesuatu yang tidak benar. Rasulullah pernah bersabda didalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi Abu Hurairah r.a :"Tanda-tanda orang munafik itu tiga. Apabila bercakap berdusta, apabila berjanji, mungkir janji dan apabila diamanahkan sesuatu, khianati". Benar didalam percakapan perlu diamalkan oleh semua umat islam. Tidak kira kecil atau besar, tua atau muda. Rasulullah bersabda didalam Hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: " Sesiapa yang berkata kepada seorang kanak-kanak: Marilah ambil ini, kemudian tidak memberikan kepada kanak-kanak itu, apa yang dijanjikan, telah melakukan satu pendustaan". 

  • Benar didalam Muamalah. seseorang Islam tidak boleh menipu didalam perniagaan yang dilakukannya, tidak boleh meminda tarikh, tidak boleh melakukan sumpah palsu bagi melariskan barangan dan lain-lain. Rasulullah s.a.w bersabda didalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi Abu Hurairah r.a: "Bersumpah, melariskan barang tapi menghapuskan keberkatan. "

  • Benar didalam Azam dan Cita-cita. seseorang islam yang berazam hendaklah melakukan sesuatu, akan meneruskan azamnya tanpa menghiraukan ranjau-ranjau dikiri dan kanannya.

  • Benar didalam berjajnji. seseorang islam akan menunaikan janjinya apabila berjanji, sebagaimana yang dinyatakan didalam hadis diatas.

  • Benar didalam menunjukkan hal keadaan dan perwatakan. seseorang islam yang sebenar, tidak akan muncul dengan perwatakan dan keadaan yang bukan keadaannya yang sebenar. Dia juga tidak akan menzahirkan sesuatu yang berlainan dengan apa yang tersembunyi didalam hati sanubarinya. Rasulullah s,.a.w bersabda didalam hadisnya yang diriwayatkan menerusi Asma' r.a: " Orang yang merasa kenyang dengan sesuatu yang tidak diberikan kepadanya, tidak ubah bagaikan orang yang memakai pakaian palsu."  Hadis diatas menjelaskan, orang yang menghiaskan diri dengan pakaian yang bukan miliknya, agar dilihat orang sebagai orang kaya, tidak ubah bagaikan orang yang memakai pakaian orang yang zuhud, sedangkan dia bukanlah seorang yang zuhud dan tidak pernah berusaha untuk menjadi seorang yang zuhud.

  • Benar didalam semua keadaan. Benar di dalam semua keadaan merangkumi benar didalam melahirkan rasa takut, harap, zuhud, reda, tawakkal cinta dan lain-lain kepada Allah s.w.t, sebagaimana yang dinyatakan didalam ayat 15 dari surah al-Hujurat diatas
 Bersama samalah kita mencontohi junjujngan mulia kita Nabi Muhammad s.a.w, hasil dari kebenaran yang ditunjukkan maka ramai orang-orang Quraisy dan orang luar tertarik untuk memeluk agama islam. Sekiranya kita turut melakukan perkara yang sama, nescaya kawan-kawan yang hampir dengan kita pun akan tertarik dan ingin mendekati dan seterusnya mengikuti jejak langkah kita didalam pencarin mencari keredhaan Illahi..

27 April 2010

Fikirlah sendiri...

Suatu hari, Isom bin Yusuf mendatangi halaqah (pengajian) Hatim al-Asom. Dalam halaqah tersebut Hatim mengajar nilai-nilai ketauhidan untuk bekal para jemahnya meniti jalan Allah. Halaqah tersebut berakhir apabila masuk waktu solat. semua hadirin bersiap-siap untuk mendirikan solat lantas pergi mengambil wuduk. Ketika hendak berwuduk, tiba-tiba mata Isom bin Yusuf tertuju kepada Hatim al-Asom, yang berlengah menyelesaikan wuduknya. Bahkan dia tetap berdiri tegak didepan air dan dia melewatkan membasuh anggota tubuhnya.

Melihat keadaan tersebut Isom bertanya kepada Hatim, "Mengapa kamu tidak menyegerakan wudukmu wahai Abu Abdul Rahman?. Hatim menjawab, "Sesungguhnya aku memulakan wudukku dengan wuduk batin".

Dengan sedikit tercengang Isom bertanya, "Wuduk batin? apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan wuduk batin?" Hatim menjelaskan, "Apabila aku berwuduk, aku lakukan dua jenis wuduk. Pertama wuduk zahir dan kedua wuduk batin. Aku memulaikan dulu dengan wuduk batin, wuduk zahir pula aku membasuh anggota tubuh yang tujuh dengan air iaitu dua telapak tangan, mulut, hidung, wajah, dua lengan, kepala dan kaki. Manakala wuduk batin pula ialah dengan membasuh bahagian dalam dengan tujuh wasilah penyucian, iaitu bertaubat, menyesal, tidak kemaruh harta dunia, tidak ingin dipuji orang, tidak bercita-cita menjadi pemimpin, tidak menaruh dendam dan tidak hasad dengki.

Isom bin Yusuf terkesima dengan penjelasan Hatim tadi lalu berkata, "jika wudukmu seperti itu, bagaimana pula dengan solatmu wahai Abu Abdul Rahman?." Hatim menjawab, "ketika  aku sudah berdiri tegak hendak menunaikan solat, maka seluruh anggota tubuhku, aku kendurkan sehingga aku dapat melihat kaabah dengan mata hatiku. aku berdiri antara hajatku dan rasa takutku kepada Rabb, aku mantapkan dalam hatiku bahawa Allah sedang mangawasiku, sedang syurga telah berada disebelah kananku dan neraka  berada disebelah kiriku. Manakala Malaikat pencabut nyawa sudah berada dibelakangku. demikianlah 'wajah' solatku, bahkan saat itu aku merasakan seakan-akan telah menapakkan kakiku diatas titian Sirat. Dan aku tanamkan didalam fikiranku bahawa ini adalah solatku yang terakhir. Setelah itu barulah aku berniat lalu membaca takbir sebaik dan sekhusyuk mungkin. Dalam solat aku membaca surah-surah al-quran sambil meneliti ertinya. Lalu aku rukuk dengan penuh kerendahan dan sujud dengan penuh kehambaan. Dalam tasyahud, aku tumpahkan seluruh harapanku dan akhirnya aku ucapkan salam dengan hati penuh tulus ikhlas".

Isom bertanya lagi, " sejak bila kamu melakukan solat dengan cara seperti ini wahai Abu Abdul Raahman?" Hatim menjawab. " Aku lakukan sejak aku menyedari bahawa aku hanyalah seorang makhluk  dan aku ada kerana ada yang menciptaku. Kalaupun sekarang aku masih hidup, pada akhirnya aku pasti akan meninggalkan dunia yang fana ini. Kemudian aku dihisab lalu aku diseksa atau diberi pahala. tetapi, jika kamu bertanyakan  sudah berapa tahunkah aku melakukan wuduk dan solat seperti ini, maka jawabku baru tiga puluh tahun"

Kenapa Solat Dikatakan Tiang Agama...

Ibadah solat mengandungi ibadah rukun Islam,  Sebagaimana sabda Rasulullah : "Islam ditegakkan atas lima sendi". Ia terdiri daripada Syahadah, solat, zakat, puasa dan haji.. Dalam ibadah solat ada keharusan bertasyahud, mengungkapkan kesaksian diatas keesaan Allah pada pertengahan dan akhir solat.

Solat mencakupi haji yang beerti menuju Baitullah, maka solat diwajibkan menghadap kearah kiblat. Solat mencakup zakat. Mengeluarkan zakat membuat harta menjadi kurang. demikian pula dengan solat, Apabila kiat bersolat membuatkan waktu untuk aktiviti lain dan pekerjaan berkurang.

Solat mancakup puasa. Orang yang berpuasa harus menahan diri daripada segala sesuatu yang membatalkan puasa. demikin juga dengan solat, harus berjuang menghadapi godaan syaitan disaat menunaikan solat. sebab itulah tempat solat disebut Mihrab. Mihrab adalah tempat Harb (Perang) melawan syaitan, dengan menegakkan solat didalamnya.

Oleh sebab itu, solat para nabi dan kekasih Allah yang mencakupi lima deminsi ibadah dalam islam. Ibadah solat disebut Tiang Agama, kerana mengandungi lima elemen utama ibadah Islam. Dan solat merupakan  medium komunikasi paling tepat untuk mendekatkan diri  kepada Allah. Rasulullah sentiasa berpesan kepada umatnya untuk menjadikan solat 'wasilah' (perantara) mendekatkan diri dan berinteraksi dengan Allah..

26 April 2010

Sabar...

Sabar ialah satu sifat yang mulia, hari ini kita dapat lihat bukan sahaja orang baik sanggup bersabar, malah orang yang mahu melakukan kejahatan lagi bersabar dari orang yang melakukan ibadah kepada Allah. . Sebagai contoh, ketika kita bersolat, didalam fikirang kita hanya berfikir mahu menyelesaikan solat dengar kadar sesegera yang mungkin, sehinggakan membaca bacaan didalam solat hanya bacaan rukun sahaja, bacaan yang sunat itu buat sekiranya rajin. Tetapi cuba kita bayangkan, orang yang mahu melakukan kejahatan, dia sanggup merancang dengan teliti dan seterusnya menunggu dengan penuh sabar masa yang sesuai untuk melakukan tindakan seterusnya, walaupun memakan masa berjam-jam malah berhari-hari. Mereka sabar menunggu untuk menunaikan hajat mereka untuk melakukan kejahatan tersebut.

Sekiranya untuk melakukan kerja kejahatan pun kita kena bersabar, apatah lagi untuk melakukan kerja amal ibadah kepada Allah, mestilah memerlukan tahap kesabaran yang lebih tinggi lagi. Ini kerana kerja kita itu melibatkan penilaian dari Maha Pencipta. Bersabar dalam melakukan kerja haram, adalah haram dan bersabar didalam melakukan ketaatan kepada Allah, adalah Wajib.

Firman Allah yang bermaksud:
"... sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".
(Al-Zumar:10)

Iman terdiri daripada dua bahagian, separuh daripadanya ialah sabar, manakala separuh lagi adalah bersyukur. Kerana itu tidak hairanlah kalau orang Melayu kita selalu berkata "sabar itu separuh dari iman"

Untuk memperolehi sifat sabar itu ialah dengan diberi ujian oleh Allah dan tidak risau atau gelisah didalam menghadapi ujian tersebut. Ujian Allah merangkumi  kesusahan dan kesenangan. Firman Allah yang bermaksud
"... dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan."
(Al-Anbiaya':35)

Menurut ibn Qudamah al-Maqdisi, seseorang itu dikira sebagai kuat dan hebat, apabila dapat bersabar dalam menghadapi kesenangan. Ini kerana situasi susah dilihat dengan jelas oleh seseorang bukan sahaja oleh ulama', bahkan orang awam biasa, sebaliknya dalam situasi seseorang senang dan mewah, jarang orang dapat melihat ianya merupakan satu ujian Allah. Sabar dalam situasi senag mempunyai hubungkait dengan sifat syukur, kerana adanya keinginan nafsu untuk melakukan apa sahaja, ketika itu. Kerana itu orang yang lapar, lebih mampu bersabar berbanding dengan orang yang dihidangkan  dengan makanan yang lazat-lazat.

Orang yang sabar mempunyai kelebihan yang besar, antaranya diredhoi Allah kehidupanya. Sabda Rasulullah s.a.w didalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi Anas bin Malik r.a:
" Sesungguhnya besarnya balasan, bergantung kepada besarnya ujian. sesungguhnya apabila Allah s.w.t mengasihi sesuatu kaum, dia akan menguji  kaum itu. Sesiapa dari kalangan kaum itu yang redho menghadapi ujian Allah, Allah akan redho kepadanya dan sesiapa sahaja dari kalangan kaum itu, yang tidak suka menghadapi ujian Allah, Allah juga tidak suka kepadanya"

Dalam apa situasi sekalipun, orang-orang islam dikehendaki mengamalkan sikap sabar, kerana ia merupakan senjata para nabi, wali, orang-orang yang benar dan juga orang-orang yang soleh semenjak zaman dahulu. Pada peringkat awal, sabar sangat menyakitkan jiwa dan tubuh badan, namun pada peringkat akhirnya ia akan  menghasilkan kejayaan yang sangat manis.

23 April 2010

Tua oh tua....

Waktu muda adalah kemuncak kesempurnaan hidup kita. Orang muda selalunya lebih bertenaga, berdaya tahan, bermotivasi dan kuat pergerakannya. Ketika kita di usia tua, tenaga yang ada pada kita semakin berkurang. Ketuaan sering dikaitkan dengan lemah. Tidak bertenaga dan tidak bermotivasi. Komitmen mereka terhadap masyarakat akan berkurang. Lantaran itu ada sesetengah orang tua tidak putus-putus membuat persiapan bagi menghadapi kematian.

Walau bagaimanapun usia tua ini dilihat  dari segi keistimewaannya, sebagai orang yang beruntung kerana telah lama hidup, banyak pengalaman dan banyak amalan kebajikan untuk menambahkan bonus jika dibandingkan dengan orang yang mati semasa muda. Itupun kalau sekiranya mereka benar-benar beriman dan beramal dengan ikhlas dan jujur. Orang tua yang berilmu, beriman, beramal dan berbakti kepada kehidupan. Kebiasaan diusia tua  begini, mata semakin kabur, pendengaran semakin kurang, gigi yang dahulu penuh  menjadi semakin jarang, ingatan yang dahulu kuat semakin menjadi pelupa, rambut yang dulunya hitam menjadi semakin putih (beruban) dan jarang. Satu demi satu keupayaan pancaindera sudah ditarik. Mereka sentiasa menyedari entah esok atau lusa  maut akan datang menjemput. Tidak kurang pula ada yang menjadi nyanyuk dan lupa.. Na'au zubillah.. Pernahkah anda membayangkan  kehidupan anda di hari tua? Apakah persediaan anda mulai sekarang?

Sekiranya dikaitkan muda dengan masa, maka waktu muda diibaratkan sebagai waktu pagi, manakala ketuaan diibaratkan sebagai waktu senja. Diwaktu awal pagi orang berlumba-lumba menjalankan pekarjaan sebelum menjelang waktu senja. Begitu juga diwaktu muda inilah masa yang paling produktif untuk bertindak mencapai cita-cita dan matlamat hidup. Keadaan hidup kita diwaktu tua amat berkait rapat dengan tindakan tindakan yang kita lakukan diwaktu muda. Kegagalan kita bertindak diwaktu muda akan menyebabkan kita kurang berjaya diwaktu tua. Dimasa kita muda, kita jangan memandang hina dan rendah kepada orang tua, ingatlah suatu masa nanti kita juga akan menjadi tua. Apa yang kita lakukan kepada mereka akan berlaku kepada diri kita apabila kita tua kelak.

Ada 4 perkara yang sering dikaitkan dengan orang tua.
  • Lemah - Suatau keadaan yang tidak bertenaga, tiada kekuatan dan lesu.
  • Sakit - Menderita kerana tubuh tidak sihat.
  • Miskin - Tiada berharta benda dan serba kekurangan.
  • Mati - Tiada bernyawa lagi.

19 April 2010

Sakit, sakit, sakit.....

Kata orang, sakit demam adalah perkara biasa dalam kehidupan manusia. Siapa yang tidak pernah langsung mendapat sakit dalam hidupnya?. Kebanyakan kita akan mengeluh apabila tiba-tiba tubuh yang sihat ditimpa sakit, Adakalanya penyakit yang menimpa kita itu, untuk memberi rahmat dan pengajaran terhadap diri kita jika kita mahu memikirkannya. Apa tidaknya, selain daripada kifarat diatas dosa yang dilakukan, sakit menjadikan kita waspada dan berhati-hati terhadap penjagaan makanan dan kesihatan dengan lebih baik.

Dimasa sihat ini kita boleh makan apa sahaja, tetapi bila sakit, kita terpaksa mengawal  makanan untuk kesihatan diri. Fenomena ini menjadikan kita  insaf untuk mengingati kebesaran  dan kekuasaan Allah SWT. Setelah sembuh kita bersyukur kepada-Nya kerana memberi peluang  kepada kita sihat semula. Lebih baik lagi jika kita dapat bertaubat, berjanji tidak akan  mensia-siakan waktu. Kalau dahulu amal ibadah dibuat sambil lewa sahaja, tetapi kini dikerjakan dengan bersungguh-sungguh kerana sentiasa mengingati mati. Selain daripada itu, melalui sakit tersebut, akan mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang kita kepada keluarga yang sebtiasa menjaga dan melayan kita semasa sakit. Hubungan saudara mara semakin erat kerana ramai saudara mara datang menziarahi kita.

Kesihatan yang baik sering dikaitkan  dengan kekuatan, produktiviti dan kesempurnaan hidup. Sakit pula dikaitkan dengan penderitaan dan ketidakselesaan . Cuba anda fikirkan beberapa aktiviti yang boleh dilakukan  oleh orang yang sihat. Mereka bebas bermain, bekerja, bersukan dan melawat. Alangkah bahagianya jika kita sentiasa sihat. Ini membolehkan kita menikmati hidup dengan riang dan gembira.

Jesteru itu, masa sihatlah kita perlu berusaha, menuntut ilmu, memantapkan diri sebagai persediaan  menghadapi masa hadapan. Sebaliknya alangkah ruginya diri kita sekiranya diwaktu sihat digunakan untuk melepak, bermain playstation, berkaraoke dan membuat taik mata (tidur). Kita sebagai manusia perlu bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan  nikmat sihat.

Marilah kita sama-sama mengunakan peluang yang masih diberikan oleh-Nya untuk kita menambah ilmu dan seterusnya dengan ilmu itu kita boleh beribadah. Sentiasa melakukan muhasabah diri dan melakukan taubat terhadapNya agar kita sentiasa berada dikalangan orang-orang yang beruntung.

Ingat mati, ingat sakit, ingatlah saat kau sulit,
Ingat-ingat hidup cuma satu kali,
Berapa dosa kau buat, berapa kali maksiat
Ingat-ingat sobat ingat lah akhirat
Cepat ucap Astaqfirullah halazim

Pandanglah kesana, lihat yang disana, 
Mereka yang ternbaring di tanah
Bukan kah mereka pernah hidup juga,
Kita pun kan menyusul mereka,
Astaqfirullah hal azim

Sebahagian dari senikata lagu WaliBand bertajuk taubat....