30 April 2011

KASIH KELUARGA MEMBAWA KE SYURGA


Melakukan kebaikan kepada ibu bapa merupakan suatu perintah dari Allah s.w.t. kepada setiap Muslim. sebagai seorang anak kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Disamping itu, kita hendaklah tahu menghargai budi dan jasa yang dicurahkan mereka siang dan malam demi melihat anak-anak dalam keadaan baik dan berjaya dalam hidup tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Di dalam Al-Quran s.w.t. dengan tegas menjelaskan peranan dan tanggungjawab anak terhadap kedua ibu bapa. Dimana Allah s.w.t. menyuruh agar anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan sentiasa berbuat baik kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan bahasa yang lembut.

Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al- Isra’ ayat : 23 Yang bermaksud : " dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau keduan-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tatapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia ( yang bersopan santun )".

Pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. segala kesusahan sewaktu hamil dan penderitaan serta kesakitan yang dialami disaat melahirkan anak adalah sesuatu yang sukar digambarkan, tatapi dengan tiba-tiba boleh bertukar dengan kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anaknya sebaik sahaja dilahirkan ke dunia ini.

Maka apakah memadai jasa dan pengorbanan seorang ibu itu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu ? sudah tentu tidak, kerana sikap seumpama ini tidak mengambarkan kasih sayang sepanjang hayat, ia hanya sebagai budaya sekali setahun. Walau bagaimanapun hari ibu yang disambut pada 10 MEI setiap tahun tidaklah bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian yang bermakna. Sebagai anak, kita sememangnya dituntut untuk mengenang jasa dan pengorbanan ibu yang telah menyusu, mengasuh dan memelihara kita dengan penuh kasih sayang.

Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ahqaf ayat 15 Yang bermaksud : " dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya".

Justeru itu, hari ibu yang kita sambut sawajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin dan dinilai sejauhmana kita mensyukuri serta menghargai pengorbanan ibu kita dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan sebagai ibu. Dengan demikian akan menambah dan mengeratkan lagi hubungan kasih sayang, melahirkan rasa hormat yang sedalam-dalamnya serta berterima kasih.

Menghormati ibu, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu mestilah dipatuhi dan sama sekali tidak boleh dikhianati. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibunya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk tunjuk ajar yang baik, maka dia (anak tersebut) dianggap telah mendurhaka. Dan bagi mereka yang durhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, mendurhaka kedua ibu bapa bererti telah mendurhaka kepada Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w. :

" عَنْ عَبْدِ الله بن عَمْرُو بن العاص رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: رِضَا الله في رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسَخْطُ اللهِ في سَخْطِ الْوَالِدَيْنِ.
(رواه الترمذي)

Yang bermaksud : " Dari Abdullah ban Amru r.a. telah bersabda Rasulullah s.a.w. : Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa " .

Marilah kita mengambil kesempatan bersempena Sambutan Hari Keluarga Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa yang akan disambut pada 15 MEI ini untuk sama-sama merenung dan melakukan muhasabah diri. Apakah yang telah kita lakukan untuk keluarga kita, khususnya mendidik dan mengajar anak-anak agar mereka sentiasa tunduk dan patuh terhadap ajaran Islam sepanjang masa.

Kita sering dikhabarkan dan digemparkan dengan pelbagai masalah sosial terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Gejala yang membimbangkan ini dikaitkan dengan kerapuhan dan kelemahan institusi keluarga. Maka keadaan ini perlu diubah dan diatasi segera demi kebaikan sesebuah keluarga dan seterusnya memberi sumbangan kepada negara.

Islam mengajar agar keluarga dan rumahtangga menjadi sebuah institusi yang aman dan bahagia bagi seluruh ahli keluarga. Maka ibu bapa adalah orang pertama yang diharapkan dapat memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang betul kepada anak-anak terutama dalam menyelesaikan masalah anak-anak. Dalam hal ini, Al-Quran dengan jelas memberi panduan kepada ibu bapa, bagaimana memberi perhatian dan didikan yang sempurna kepada anak-anak seperti yang digambarkan dalam surah Lukman ayat :13 dimana Allah s.w.t. memuji dan menceritakan didikan yang diberikan oleh Lukman kepada anaknya dengan firman-Nya yang bermaksud : " dan ( ingatlah ! ) tatkala Lukman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku janganlah engkau mempersekutukan Allah ( dengan sesuatu yang lain ) sesungguhnya perbuatan syarik itu adalah satu kezaliman yang besar ! " .

Oleh itu, bersempena dengan sambutan hari ibu dan hari keluarga pada kali ini marilah kita sama-sama menghayati dengan mengisi sambutan hari tersebut mengikut kehendak Islam .

Usaha meraikan sambutan seumpama ini perlu diselarikan dengan kehendak syara’ agar ianya memberi kesan yang baik kepada diri dan keluarga terutama sebagai satu usaha mendidik dan memperkasakan lagi sesebuah keluarga menjadi keluarga yang harmoni dan bahagia serta diredhai s.w.t. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa memberi perhatian kepada beberapa perkara diantaranya :

Pertama :
Memberi Keutamaan Kepada Asas Pembinaan Keluaga.
Sesebuah keluarga tidak mungkin bahagia jika dibina tanpa asas akidah yang kukuh dan keimanan yang mantap terhadap Allah s.w.t. Maka atas sebab inilah Agama Islam melarang keras umatnya samada lelaki mahupun wanita berkahwin dengan orang yang bukan beragama Islam .

Kedua :
Memahami Setiap Tanggungjawab dan Amanah.
Setiap ibu bapa hendaklah faham dan mengetahui tanggungjawab dan peranan masing-masing terutama dalam memberi perhatian dan didikan untuk anak-anak dengan betul menurut kehendak ajaran Islam .

Ketiga :
Mengakui dan Bersedia Menerima Kejadian Diri.
Setiap pasangan hendaklah akur dengan perintah Allah s.w.t. yang telah menetapkan bahawa suami ( kaum lelaki ) adalah sebagai ketua bagi sesebuah keluarga. Oleh itu, suami hendaklah menerima amanah ini dengan penuh tanggungjawab, sementara isteri hendaklah taat dan menghormati suami.

Keempat :
Ibu bapa menjadi Contoh Terbaik.
Hendaklah sentiasa mendidik dan menanam didalam diri anak-anak sifat taat dan patuh kepada kedua ibu bapa serta sentiasa memberi tunjuk ajar dan contoh teladan yang baik kepada anak-anak .

Kelima :
Memupuk Kasih Sayang Yang Berpanjangan.
Hendaklah sentiasa menjaga dan mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan anggota keluarga dengan memastikan suasana sentiasa ceria, mesra, saling hormat menghormati dan selamat.

" dan juga mereka ( yang diredhai Allah itu ialah orang-orang ) yang berdoa dengan berkata : " wahai tuhan kami ! berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertakwa ".

28 April 2011

Cinta dunia........

Cinta dunia merupakan satu penyakit yang amat merbahaya malah diqambarkan oleh Imam Ghazali sebagai pencetus kepada kebanyakan penyakit hati yang lain sepeti takabbur, dengki, riya', megah, buruk sangka serta suka mengumpul harta. Dengan perkataan lain dapat dirumuskan bahawa penyakit cintakan dunia adalah merupakan punca utama kepada banyak penyakit hati yang lain.

Cintakan dunia juga boleh menyebabkan sseorang itu melakukan maksiat serta berakhlak buruk malah boleh mendatangkan kemusnahan, kerosakan serta merupakan perkara yang amat merbahaya kepada manusia kerana cintakan dunia boleh menyebabkan hilang khusyuk dalam ibadah.

Sehubungan itu Rasulullah mengingatkan umatnya agar tidak terpedaya dengan fitnah dunia dan mengutamakan bekalan ke akhirat melalui hadisnya yang bermaksud:
"Barang siapa mencintai dunia, nescaya ia akan membahayakan akhiratnya, dan barang siapa mencintai akhiratnya, nescaya ia akan membahayakan dunianya, maka utamakanlah apa yang kekal daripada apa yang binasa"
(Riwayat Ahmad)

Cinta dunia yang dimaksudkan al-Ghazali ialah cintakan dunia yang tercela yang dijelaskan dengan membezakan diantara dunia yang wujud untuk manusia dan dunia keseluruhanya. dunia yang dimaksudkan untuk manusia mengandungi semua sebelum manusia meninggal dunia dan kemunculan hari kemudian. Apa yang wujud sebelum manusia meninggal dunia meliputi nikmat kesedapan, keseronokan, keuntungan dan keinginan hawa nafsu.

25 April 2011

Cetusan Isi Hati Para Kekasih Allah....

Hai Tuhanku, berilah aku peluang untuk bertaubat sehingga aku dapat melakukannya.
Berilah aku kemaafan, aku telah berbalut den bergelumang dosa.
Matikanlah aku dalam agama Nabi Muhammad SAW.
Hidupkanlah hatiku pada hari hidupnya segala hati (kekasih Mu)

Wahai Tuhan Yang Maha Penyembuh Penyakit, Ubatilah hatiku,
Wahai Tuhanku, aku tetap melakukan muhasabah terhadap perintah-Mu.
Dan sembuhkanlah hatiku daripada apa yang telah membalut atau menyelubunginya.
Sesungguhnya penyakitku telah membinggungkan para pakar perubatan.

Wahai Tuhanku, berilah aku peluang untuk dekat kepada-Mu.
Mustahillah berlaku bahawa aku menggantungkan harapan kepada-Mu lalu aku menemui kehampaan.
Maafkanlah kesilapanku, belas kasihanlah  terhadapku  agar aku hampir dengan Mu.
Sesungguhnya penyakitku hanya sembuh dan pulih dengan menghampiri-Mu.

Celakalah malam yang aku padanya berbuat maksiat terhadap-Mu.
Malam tersebut telah menganggu keselesaan dan tidur yang nyenyak, dosa pada malam itu telah menjadi nasib malangku.
Tidak ada alasanku lagi, aku sungguh telah berbuat maksiat terhadap-Mu disebabkan kejahilan.
Bertapa aku tidak menaruh rasa malu, sedangk Engkaulah satu-satunya yang sentiasa mengamat-amatiku.


Pernahkah kita bermonolog sendirian, memikirkan bertapa jauhnya kita dari Allah..?
Meluahkan rasa yang terbuku didalam hati, tentang penyesalan terhadap kelalaian diri terhadap Allah..?
Bermuhasabah diri, setakat manakah kita telah melakukan perintahNya dan mampu meninggalkan segala laranganya..
Yang selama ini terbit didalam fikiran kita hanyalah perkara-perkara keduniaan yang tidak memberikan keuntungan kepada kita di Negeri Akhirat....
Lalai dalam mencari kesenangan dunia sehingga melupakan bekalan untuk kesenangan di Akhirat....

Bersamalah kita memperbanyakan Muhasabah..... Sebelum kita terlambat...  Untuk Melakukan Taubat....


19 April 2011

Gejala Sosial Tanggungjawab Siapa?


Permasalahan gejala sosial merupakan isu sejagat yang melanda kehidupan manusia di sepanjang zaman. Porak-peranda kehidupan masyarakat adalah berpunca daripada wujudnya golongan yang rosak akhlak, dengan membelakangkan agama dan mengutamakan runtunan hawa nafsu.

Fenomena-fenomena keruntuhan akhlak dijelmakan melalui tabiat mensyirikkan Allah, menagih arak, berjudi, berzina, memperalatkan wanita, berpoya-poya, cintakan hiburan yang melampau dan sebagainya. Di sepanjang zaman Rasul dan Nabi telah diutuskan oleh Allah S.W.T untuk membimbing manusia ke arah kehidupan yang mulia dan berakhlak. Demikianlah juga Nabi kita Muhamad S.A.W diutuskan hanyalah semata-mata untuk memperbaiki akhlak yang mulia dan terpuji. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang berbunyi :

"إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ."

Bermaksud : “Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan Akhlak kamu.”
Di negara kita, hampir setiap hari dilaporkan oleh media massa akan pelbagai fenomena gejala sosial yang sedang melanda masyarakat. Perlakuan buruk ini bukan hanya melibatkan golongan remaja tetapi juga di kalangan dewasa. Di antara beberapa fenomena gejala sosial yang amat membimbangkan kita ialah penagihan dadah, penagihan arak, bohsia, pergaulan seks bebas, mat rempit, penderaan kanak-kanak, rogol, suka melepak dan sebagainya.

Fenomena ini telah mengancam pembangunan dan kesejahteraan hidup di Negara kita. Di peringkat keluarga permasalahan ini telah menjejas masa depan sesebuah keluarga, kerana diganggu gugat oleh anggota keluarga yang rosak akhlak. Ibu bapa berhadapan dengan pelbagai masalah seperti tekanan hidup dan kehabisan harta benda kerana ancaman kehendak nafsu jahat di kalangan segelintir anak-anak.

Di peringkat masyarakat, gejala sosial ini telah mengancam kebahagian dan kesejahteraan hidup, kerana terpaksa menghadapi ancaman dan gangguan golongan perosak masyarakat ini.

Di peringkat Negara, penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai kegiatan yang tidak bermoral bukan sahaja membazirkan jutaan wang ringgit, malah hilangnya tenaga-tenaga pelapis yang sepatutnya mewarisi kepimpinan Negara. Mengikut laporan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan, sebanyak RM19 juta setahun dibelanjakan untuk pemulihan penagih-penagih dadah di seluruh Negara. Manakala Majlis Aids Negara pula membelanjakan sejumlah RM40 juta setahun untuk mangsa-mangsa Aids di seluruh Negara. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab semua anggota masyarakat agar menangani masalah ini daripada terus berleluasa. Adalah tidak wajar sama sekali di kalangan kita saling menuding jari menyalahkan satu sama lain tanpa memberikan sebarang sumbangan dalam menghadapi ancaman ini.

Berdasarkan penyelidikan daripada beberapa pihak, didapati masalah keruntuhan akhlak di sebabkan oleh pelbagai punca yang kait mengait. Di antaranya ialah kurangnya pengetahuan agama di kalangan anggota masyarakat, kurang prihatin di kalangan segelintir ibu bapa terhadap anak-anak, pengaruh media massa dalam pelbagai aktiviti hiburan yang melampau, kemunculan pusat-pusat hiburan yang tidak terkawal, pengaruh persekitaran, sikap hidup masyarakat yang individualistik, dan lain-lain lagi.

Oleh kerana itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada mana-mana pihak yang menjadi penyebab kepada suburnya gejala sosial ini, agar membuat muhasabah segera, bagi mengenal pasti kelemahan dan kesilapan masing–masing yang menyebabkan terjerumusnya sebahagian anggota masyarakat ke dalam kemelut gejala sosial. Disamping menentukan pelan tindakan ke arah mengurangkan kemunculan fenomena ini.

Sebagai Muslim kita perlu insaf bahawa, Islam mewajibkan kita sentiasa menghayati dan melakukan kebajikan dalam apa jua kegiatan di dunia ini samada di bidang ekonomi, politik, penyiaran, pendidikan, hiburan, sukan, dan sebagainya. Disamping menegah sama sekali segala apa jua keburukan dalam segenap gerak kerja harian. Banyak ayat Al-Quran memberi amaran bahwa Allah S.W.T akan mengadili hamba-hamba-Nya walau pun kebajikan yang dilakukan itu sebesar zarah atau kejahatan yang dilakukan itu sebesar zarah atau atom.

Firman Allah didalam Surah Al-Zalzalah ayat : 7-8 yang bermaksud:
 “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah nescaya dia akan melihat balasannya dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah nescaya dia akan melihat balasannya pula.”

Sesungguhnya syariat Islam yang serba lengkap ini menyediakan pelbagai panduan kepada kita dalam melaksanakan aktiviti–aktiviti dalam kehidupan duniawi. Menghayati sepenuhnya panduan Syariat Islam dalam sebarang kegiatan akan menjamin kebahagian dan kesejahteraan kepada semua pihak di dunia dan di akhirat. Manakala membelakangi tuntutan Syariat dalam sebarang kegiatan, walaupun kadang-kadang penganjur sesuatu program memperolehi keuntungan, namun majoriti anggota masyarakat di landa kemusnahan.

Firma Allah didalam Surah Ali-Imran ayat : 112 yang bermaksud:
”Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia.”

Sebenarnya banyak cara untuk mengatasi berlakunya gejala sosial ini. Antaranya ialah mempertingkatkan program penyebaran Islam kepada seluruh lapisan umat Islam di seluruh negara secara terancang, komited dan konsisten. Kerjasama yang bersepadu di antara agensi kerajaan dan NGO perlu digerakkan untuk melaksanakan program ini. Pentingnya usaha dakwah ini banyak diperingatkan oleh Allah S.W.T. dalam Quran.

Firman Allah dalam surah an-Nahli ayat 125 yang bermaksud :
“Serulah manusia kepada jalan tuhan mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”


Permasalahan keruntuhan akhlak pelbagai lapisan masyarakat juga dapat dikurangkan jika semua pihak memahami dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai pemikul amanah Allah, iaitu kewajipan memakmurkan dunia ini dengan dasar, nilai dan falsafah keagamaan. Adalah menjadi tanggungjawab setiap muslim, walau dari apa juga latarbelakang kerjaya memikul amanah Allah dengan mempastikan apa jua aktiviti dan kegiatan mestilah berlandaskan semangat ibadah.

Sesungguhnya tuntutan membina nilai agama dalam kehidupan ini adalah tanggungjwawab setiap muslim tidak kira samada mereka ahli politik, saintis, tokoh budaya, tokoh sukan, para usahawan dan sebagainya. Allah S.W.T. mewajibkan setiap Muslim menjadikan ajaran Islam sebagai dasar, nilai, dan falsafah dalam perlaksanaan kerjaya dan profesion masing-masing. Allah menegah sama sekali dasar-dasar dan nilai buruk dalam perlaksanaan apa juga kerjaya. Penghayatan prinsip ini akan dapat membentuk persekitaran yang didominasi oleh pengaruh agama. Renungilah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 :

Yang Bermaksud : “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

Ayat di atas dengan jelas mengingatkan bahawa setiap Muslim berperanan sebagai pendokong amalan kebaikan dan pencegah kegiatan-kegiatan mungkar.

Satu lagi kaedah yang di percayai berkesan dalam menangani gejala sosial ini ialah melalui perlaksanaan Amar makruf dan Nahi mungkar.

Kesedaran melaksanakan amar maaruf semakin lemah mutakhair ini, lazimkanlah budaya mengambil tahu permasalahan orang lain yang bertujuan untuk menyelamat dan membahagiakan orang lain, sepertimana keselamatan dan kebahgian yang kita inginkan. Inilah sebenarnya prinsip hidup bermasyarakat yang telah mengangkat martabat umat Islam di zaman kegemilangannya.

Marilah sama-sama kita menginsafi kekurangan dan kelemahan kita selama ini dalam melaksanakan kewajipan kita sebagai pemikul amanah Allah, sehingga kita dihadapkan dengan ancaman gejala sosial yang mengerunkan ini. Mudah-mudahan dengan keinsafan itu, kita akan mengorak langkah secara bersepadu untuk menghadapi ancaman gejala sosial yang semakin parah ini.

Renunglah firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hujurat 10 :

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudara-saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”

Kasih Sayang Pembentuk Kebahagian Keluarga

Intitusi Keluarga merupakan asas pembinaan sesebuah masyarakat. Maju dan bahagiannya sesebuah masyarakat itu amat bergantung kepada Intitusi Keluarga yang berkualiti. Justeru itu syariat Islam menjadikan perkahwinan sebagai satu peraturan yang wajib di hayati, demi menjamin kerukunan hidup berumah tangga.

Perkara ini telah di nyatakan oleh Allah S.W.T dalam surah Ar-rum ayat 21 yang bermaksud:

”Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah dan rahmatMu, bahawa dialah yang menciptakan untuk kamu kaum lelaki (isteri-isteri dari jenis kaum kamu sendiri) supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan di jadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

Islam adalah agama yang mementingkan hubungan kasih sayang. Kasih sayang adalah fitrah semua jadi yang Allah bekalkan di dalam naluri setiap insan. Ini bererti kasih sayang tidak mengenal waktu, jarak, tempat kedudukan dan pangkat. Dengan sebab itu, Allah S.W.T meletakkan syarat untuk memperolehi rahmatnya adalah dengan berkasih sayang antara sesama manusia. Ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang berbunyi:

Rasulullah SAW bersabda:

" مَنْ لاَ يَرْحَمِ النَّاسَ لاَ يَرْحَمْهُ اللهُ "

Maksudnya : ”Barang siapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya.”

(H.R. Al-Termizi)

Hadis di atas menekankan kepada umat Islam agar hidup berkasih sayang dan sentiasa memelihara persaudaraan, dengan jaminan kurniaan rahmat oleh Allah s.w.t kepada mereka yang berakhlak penyayang.

Sifat kasih sayang amat penting dan begitu di tekankan oleh islam khususnya dalam pembinaan sebuah keluarga bahagia. Bagi memperolehi kasih sayang yang sebenar dalam kehidupan sebuah rumah tangga seseorang itu perlu menjalinkan hubungan yang harmonis di antara seluruh anggota keluarga dengan sentiasa kasih mengasihi, saling menghormati serta bantu membantu di antara satu sama lain. Semua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Terdapat beberapa faktor yang dapat menyuburkan kasih sayang untuk pembinaan sebuah keluarga bahagia. Antaranya ialah:

Pertama,
Faktor Kasih Sayang Antara Suami dan Isteri

Sebuah keluarga yang bersifat mawaddah dan rahmah bermula daripada ikatan perkahwinan. Bagi melahirkan kasih sayang yang sebenar di antara suami dan isteri kedua-dua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggung jawab masing-masing. Isteri bertanggungjawab melayani dan mentaati suami manakala suami pula berperanan sebagai pelindung dan tempat bergantung isteri dan ahli keluarga. Islam juga menganjurkan para suami agar sentiasa bergaul dengan isteri secara maaruf ( baik).

Allah menegaskan hal ini dalam surah An-nisa ayat 19 yang bermaksud:
”Wahai orang2 beriman tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan2 dgn jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka dengan menahan dan menyusahkan mereka kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali apabila mereka telah melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu merasa benci dengan mereka di sebabkan dengan tingkahlaku mereka, jgnlah pula kamu terburu-buru menceraikannya kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebajikan yang banyak bagi kamu.”

Hakikat ini diperjelaskan lagi dgn sabda baginda baginda S.A.W yang berbunyi:

" خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَاَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِيْ "

Maksudnya : ”Sebaik-baik di kalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang paling baik pada isteriku..”  

(Hadis Riwayat Al-Termizi)


Kedua:
Kasih Sayang Antara Anak-anak Dengan Ibubapa.

Sebagaimana ibu dan bapa memberikan kasih sayangnya kepada anak-anak, maka islam juga menganjurkan supaya anak-anak juga memberikan kasih sayang terhadap kedua ibu bapa mereka. Tegasnya anak-anak mestilah menyayangi dan mengasihi ibu bapa, mematuhi segala perintah dan nasihat keduanya, mengunakan kata-kata yang lemah lembut serta beradab, tidak menyinggung perasaan dan menyakitkan hati kedua ibubapa.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud:
”Dan tuhanmu telah perintahkan supaya tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan ”Ahhh...” dan janganlah engkau mengherdik mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Anak-anak mestilah menunjukkan tanda kesyukuran dan rasa berterima kasih terhadap jasa kedua orang tuanya yang sudah bersusah payah mendidik dan membesarkannya dengan cara sentiasa bertanya khabar dan mengambil berat kepada kedua ibubapa, lebih-lebih lagi kepada kedua ibu bapa yang lemah dan uzur. Adalah menjadi kewajipan kepada anak-anak memperuntukkan masa khas untuk memenuhi keperluan ibubapa dari segi makan minum, pakaian, perubatan dan kasih sayang sebagaimana mereka berikan kepada kita sewaktu kita kecil dahulu. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan kedua ibubapa kita tidak mampu membalasnya, walau dengan apa pun sumbangan yang kita berikan kepada mereka.

Firman Allah dalam surah Al-Lukman ayat 14:
Maksudnya : ”Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan yang demikian itu, Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibubapamu dan kepadaku jua tempat kembali.”

Oleh itu janganlah kita leka dengan kehidupan dan tugas-tugas seharian sehingga kita lupa akan tanggungjawab kita sebagai seorang anak lebih-lebih lagi apabila ibubapa kita telah meninggal dunia. Sebagai anak yang soleh maka hendaklah kita selalu berdoa kepada keduanya.

Sebagaimana Firman Allah dalam surah Isra’ ayat 24 yang bermaksud:
”Wahai tuhanku ampunkanlah dosaku dan dosa kedua ibubapaku serta kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku semasa aku kecil.”

Ketiga:
Adanya hubungan kejiranan yang baik.

Islam senantiasa menganjurkan supaya umatnya menjalin hubungan kasih sayang, silaturahim dan saling membantu antara satu sama lain. Kasih sayang itu bukan sekadar perlu dipupuk antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak serta anak dan ibu bapa saja, tetapi silaturahim terhadap saudara yang lain termasuk jiran tetangga juga sangat digalakkan oleh Islam karena hasil dari ikatan kemesraan itu akan melahirkan kekuatan ummah yang padu. Adalah wajar amalan hormat-menghormati dan tolak ansur di antara jiran tetangga di tingkatkan kerana ianya boleh melahirkan kehidupan yang harmonis dan sekaligus dapat membangunkan intitusi keluarga masing-masing.

Ini di jelas oleh Allah dalam surah An-nisa ayat ayat 36 Allah berfirman yang bermaksud:
”Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlan kamu mempersekutukannya dengan suatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jauh dan rakan sejawat dan orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sehaya yang kamu miliki sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”

Sebagai kesimpulannya marilah sama-sama kita menyuburkan budaya kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, mudah-mudahan kita akan di rahmati Allah S.W.T.

17 April 2011

Hanya keranaMU

Dalam sujudku padaMU
Dengan penuh pengabdian
Dengan penuh penyesalan
Hanya mengharapkan keredhaanMU
Agar KAU terima segala dosaKU

Aku bermegah diduniaMU
Aku bermegah dengan kekayaanku
Dengan cinta makhlukMU
Aku riak, aku takkabur
Aku lupa segala nikmat iman dan islam ku

Ku akui salahku yang lalu
Ku akui segalanya tentangku
Nikmat yang tercipta ku biarkan berlalu
Tanpa ku ambil sedikit pun tentangMu

Manakan mampu ku hidup tanpaMU
Menghirup udaraMU
Dan segala nikmatMU
Tanpa rasa syukur ku padaMU
Aku malu..aku malu...
Aku MALU padaMU..


Nikmat apa lagi yang telah ku dustakan.??

Ya Allah..
Ya Allah...
Ya Allah.....
Kepadamu ku memohon taubat
Kemapunan..kekesalan..dan pengharapan
Sesuatu perkara kan ku kembalikan padaMU
Satu cinta hanya untukMU...

Biar matiku hanya keranaMU
Biar jasadku mati didlam jihadMU
Biar lidahku bersuara menegakkan kebenaranMU
Hanya keranaMU ,,YANG KU RINDU.




11 April 2011

Masa

Masa...!!!
Kau berlalu terlalu pantas,
Seminggu berlalu dirasakan sehari, 
Sebulan berlalu bagaikan seminggu,
Tanpa kita sedari,
Tahun ke tahun silih berganti
Detik-detik masa seumur hidup,
Kalian rasakan umpama dalam impian.

Semua yang hidup bagai dalam bahtera pelayaran, 
Setiap hari dan bulan, kian jauh dalam perjalanan. 
Berhari bermalam semuanya bagai dalam impian,
Dunia akan tetap ditinggalkan,
Akhirnya kubur jua yang berdekatan

Hidup berakhir dengan kematian, 
Panjang, pendek.....
Kesudahanya sama