19 April 2011

Gejala Sosial Tanggungjawab Siapa?


Permasalahan gejala sosial merupakan isu sejagat yang melanda kehidupan manusia di sepanjang zaman. Porak-peranda kehidupan masyarakat adalah berpunca daripada wujudnya golongan yang rosak akhlak, dengan membelakangkan agama dan mengutamakan runtunan hawa nafsu.

Fenomena-fenomena keruntuhan akhlak dijelmakan melalui tabiat mensyirikkan Allah, menagih arak, berjudi, berzina, memperalatkan wanita, berpoya-poya, cintakan hiburan yang melampau dan sebagainya. Di sepanjang zaman Rasul dan Nabi telah diutuskan oleh Allah S.W.T untuk membimbing manusia ke arah kehidupan yang mulia dan berakhlak. Demikianlah juga Nabi kita Muhamad S.A.W diutuskan hanyalah semata-mata untuk memperbaiki akhlak yang mulia dan terpuji. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang berbunyi :

"إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ."

Bermaksud : “Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan Akhlak kamu.”
Di negara kita, hampir setiap hari dilaporkan oleh media massa akan pelbagai fenomena gejala sosial yang sedang melanda masyarakat. Perlakuan buruk ini bukan hanya melibatkan golongan remaja tetapi juga di kalangan dewasa. Di antara beberapa fenomena gejala sosial yang amat membimbangkan kita ialah penagihan dadah, penagihan arak, bohsia, pergaulan seks bebas, mat rempit, penderaan kanak-kanak, rogol, suka melepak dan sebagainya.

Fenomena ini telah mengancam pembangunan dan kesejahteraan hidup di Negara kita. Di peringkat keluarga permasalahan ini telah menjejas masa depan sesebuah keluarga, kerana diganggu gugat oleh anggota keluarga yang rosak akhlak. Ibu bapa berhadapan dengan pelbagai masalah seperti tekanan hidup dan kehabisan harta benda kerana ancaman kehendak nafsu jahat di kalangan segelintir anak-anak.

Di peringkat masyarakat, gejala sosial ini telah mengancam kebahagian dan kesejahteraan hidup, kerana terpaksa menghadapi ancaman dan gangguan golongan perosak masyarakat ini.

Di peringkat Negara, penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai kegiatan yang tidak bermoral bukan sahaja membazirkan jutaan wang ringgit, malah hilangnya tenaga-tenaga pelapis yang sepatutnya mewarisi kepimpinan Negara. Mengikut laporan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan, sebanyak RM19 juta setahun dibelanjakan untuk pemulihan penagih-penagih dadah di seluruh Negara. Manakala Majlis Aids Negara pula membelanjakan sejumlah RM40 juta setahun untuk mangsa-mangsa Aids di seluruh Negara. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab semua anggota masyarakat agar menangani masalah ini daripada terus berleluasa. Adalah tidak wajar sama sekali di kalangan kita saling menuding jari menyalahkan satu sama lain tanpa memberikan sebarang sumbangan dalam menghadapi ancaman ini.

Berdasarkan penyelidikan daripada beberapa pihak, didapati masalah keruntuhan akhlak di sebabkan oleh pelbagai punca yang kait mengait. Di antaranya ialah kurangnya pengetahuan agama di kalangan anggota masyarakat, kurang prihatin di kalangan segelintir ibu bapa terhadap anak-anak, pengaruh media massa dalam pelbagai aktiviti hiburan yang melampau, kemunculan pusat-pusat hiburan yang tidak terkawal, pengaruh persekitaran, sikap hidup masyarakat yang individualistik, dan lain-lain lagi.

Oleh kerana itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada mana-mana pihak yang menjadi penyebab kepada suburnya gejala sosial ini, agar membuat muhasabah segera, bagi mengenal pasti kelemahan dan kesilapan masing–masing yang menyebabkan terjerumusnya sebahagian anggota masyarakat ke dalam kemelut gejala sosial. Disamping menentukan pelan tindakan ke arah mengurangkan kemunculan fenomena ini.

Sebagai Muslim kita perlu insaf bahawa, Islam mewajibkan kita sentiasa menghayati dan melakukan kebajikan dalam apa jua kegiatan di dunia ini samada di bidang ekonomi, politik, penyiaran, pendidikan, hiburan, sukan, dan sebagainya. Disamping menegah sama sekali segala apa jua keburukan dalam segenap gerak kerja harian. Banyak ayat Al-Quran memberi amaran bahwa Allah S.W.T akan mengadili hamba-hamba-Nya walau pun kebajikan yang dilakukan itu sebesar zarah atau kejahatan yang dilakukan itu sebesar zarah atau atom.

Firman Allah didalam Surah Al-Zalzalah ayat : 7-8 yang bermaksud:
 “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah nescaya dia akan melihat balasannya dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah nescaya dia akan melihat balasannya pula.”

Sesungguhnya syariat Islam yang serba lengkap ini menyediakan pelbagai panduan kepada kita dalam melaksanakan aktiviti–aktiviti dalam kehidupan duniawi. Menghayati sepenuhnya panduan Syariat Islam dalam sebarang kegiatan akan menjamin kebahagian dan kesejahteraan kepada semua pihak di dunia dan di akhirat. Manakala membelakangi tuntutan Syariat dalam sebarang kegiatan, walaupun kadang-kadang penganjur sesuatu program memperolehi keuntungan, namun majoriti anggota masyarakat di landa kemusnahan.

Firma Allah didalam Surah Ali-Imran ayat : 112 yang bermaksud:
”Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia.”

Sebenarnya banyak cara untuk mengatasi berlakunya gejala sosial ini. Antaranya ialah mempertingkatkan program penyebaran Islam kepada seluruh lapisan umat Islam di seluruh negara secara terancang, komited dan konsisten. Kerjasama yang bersepadu di antara agensi kerajaan dan NGO perlu digerakkan untuk melaksanakan program ini. Pentingnya usaha dakwah ini banyak diperingatkan oleh Allah S.W.T. dalam Quran.

Firman Allah dalam surah an-Nahli ayat 125 yang bermaksud :
“Serulah manusia kepada jalan tuhan mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”


Permasalahan keruntuhan akhlak pelbagai lapisan masyarakat juga dapat dikurangkan jika semua pihak memahami dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai pemikul amanah Allah, iaitu kewajipan memakmurkan dunia ini dengan dasar, nilai dan falsafah keagamaan. Adalah menjadi tanggungjawab setiap muslim, walau dari apa juga latarbelakang kerjaya memikul amanah Allah dengan mempastikan apa jua aktiviti dan kegiatan mestilah berlandaskan semangat ibadah.

Sesungguhnya tuntutan membina nilai agama dalam kehidupan ini adalah tanggungjwawab setiap muslim tidak kira samada mereka ahli politik, saintis, tokoh budaya, tokoh sukan, para usahawan dan sebagainya. Allah S.W.T. mewajibkan setiap Muslim menjadikan ajaran Islam sebagai dasar, nilai, dan falsafah dalam perlaksanaan kerjaya dan profesion masing-masing. Allah menegah sama sekali dasar-dasar dan nilai buruk dalam perlaksanaan apa juga kerjaya. Penghayatan prinsip ini akan dapat membentuk persekitaran yang didominasi oleh pengaruh agama. Renungilah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 :

Yang Bermaksud : “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

Ayat di atas dengan jelas mengingatkan bahawa setiap Muslim berperanan sebagai pendokong amalan kebaikan dan pencegah kegiatan-kegiatan mungkar.

Satu lagi kaedah yang di percayai berkesan dalam menangani gejala sosial ini ialah melalui perlaksanaan Amar makruf dan Nahi mungkar.

Kesedaran melaksanakan amar maaruf semakin lemah mutakhair ini, lazimkanlah budaya mengambil tahu permasalahan orang lain yang bertujuan untuk menyelamat dan membahagiakan orang lain, sepertimana keselamatan dan kebahgian yang kita inginkan. Inilah sebenarnya prinsip hidup bermasyarakat yang telah mengangkat martabat umat Islam di zaman kegemilangannya.

Marilah sama-sama kita menginsafi kekurangan dan kelemahan kita selama ini dalam melaksanakan kewajipan kita sebagai pemikul amanah Allah, sehingga kita dihadapkan dengan ancaman gejala sosial yang mengerunkan ini. Mudah-mudahan dengan keinsafan itu, kita akan mengorak langkah secara bersepadu untuk menghadapi ancaman gejala sosial yang semakin parah ini.

Renunglah firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hujurat 10 :

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudara-saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan