23 Mac 2010

Bekerja sendiri lebih menjamin kehidupan?

Pada pandangan saya keadaan ekonomi negara kita sekarang berada dalam keadaan tidak menentu. Didalam beberapa aspek pentadbiran negara, kesan kegawatan ini telah dapat dirasai apabila banyak peruntukan yang sebelum ini disalurkan kepada pihak terlibat telah sikit demi sedikit di tarik balik atau dikurangkan. Peluang untuk rakyat mencari pekerjaan juga semakin kurang. berapa ramai para siswazah atau pun lepasan sekolah yang tiada pekerjaan.

Bekerja merupana suatu tuntutan agama, lebih-lebih lagi bagi kaum lelaki yang bergelar suami atau bapa. ketua keluarga wajib mencari kerja untuk member nafkah kepada anak dan isteri supaya dapat menjalani kehidupan seharian dengan sempurna. Islam tidak suka umatnya bersikap malas bekerja. Islam tidak suka kepada pengangguran apatah lagi perbuatan meminta sedekah. Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah bersabda yang bermaksud: Peminta sedekah tidak akan berhenti dari  meminta-minta sehinggalah bertemu dengan Allah  dan pada saat itu tidak ada sepotong dagingpun diwajahnya.

Oleh yang demikian, orang yang berkemampuan dituntut supaya mencari pekerjaan untuk menyara diri dan keluarga seterusnya terhindar daripada sifat meminta-minta bantuan dan simpati dari orang lain.

Bekerja sendiri bermaksud tidak bergantung kepada gaji bulanan daripada majikan. Banyak jenis pekerjaan yang boleh dilakukan sendiri seperti berniaga, menjalankan perusahaan sendiri, menghasilkan barangan sendiri, petani, penternakan, nelayan, tukang rumah, tukan jahit, tukang kasut sehinggalah kepada pekerjaan mencari rotan atau kayu dihutan. Disebut didalam hadith yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:  Dari Abu Hurairah r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: " Jika sekiranya salah seorang di antara kamu berangkat pada waktu pagi untuk mencari kayu lalu dia memikulnya diatas belakangnya. Kenudian dia bersedekah dengannya dan tidak mengharapkan pemberian daripada  orang lain, maka itu adalah lebih baik baginya dari meminta-minta daripada orang lain".

Apa yang ingin disarankan ialah agar para pembaca yang masih menganggur atau diberhentikan kerja supaya menceburkan diri dalam dunia keusahawanan samaada menjadi peniaga, petani, penternak dan seumpamanya. Bagi yang mempunyai line internet di rumah sendiri, gunaklah peluang dan kesempatan. Banyak cara yang boleh dilakukan.  Yang paling penting dan utama ialah HALAL.

Mudah-mudahan dengan usaha yang tekun dan gigih berbekalkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, akan lebih ramai usahawan muslim dapat dilahirkan. seterusnya dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga, masyarakat dan umat islam di negara ini. Perkara yang paling penting ialah sesuatu pekerjaan itu hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi yang bermaksud: "sesungguhnya Allah s.w.t menyukai seseorang kamu malakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh".

Jangan dihiraukan apa yang masyarakat perkatakan tentang kita, asal sahaja apa yang kita lakukan itu semata-mata untuk mencari rezeki yang Halal. tingkatkan keimanan, ketaqwaan dan motivasi diri untuk menghadapi segala halangan, cabaran dan rintangan yang bakal dihadapi dalam meneruskan kehidupan dalam dunia yang semaikin mancabar ini...

Fikir-fikirkan...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan