27 April 2010

Fikirlah sendiri...

Suatu hari, Isom bin Yusuf mendatangi halaqah (pengajian) Hatim al-Asom. Dalam halaqah tersebut Hatim mengajar nilai-nilai ketauhidan untuk bekal para jemahnya meniti jalan Allah. Halaqah tersebut berakhir apabila masuk waktu solat. semua hadirin bersiap-siap untuk mendirikan solat lantas pergi mengambil wuduk. Ketika hendak berwuduk, tiba-tiba mata Isom bin Yusuf tertuju kepada Hatim al-Asom, yang berlengah menyelesaikan wuduknya. Bahkan dia tetap berdiri tegak didepan air dan dia melewatkan membasuh anggota tubuhnya.

Melihat keadaan tersebut Isom bertanya kepada Hatim, "Mengapa kamu tidak menyegerakan wudukmu wahai Abu Abdul Rahman?. Hatim menjawab, "Sesungguhnya aku memulakan wudukku dengan wuduk batin".

Dengan sedikit tercengang Isom bertanya, "Wuduk batin? apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan wuduk batin?" Hatim menjelaskan, "Apabila aku berwuduk, aku lakukan dua jenis wuduk. Pertama wuduk zahir dan kedua wuduk batin. Aku memulaikan dulu dengan wuduk batin, wuduk zahir pula aku membasuh anggota tubuh yang tujuh dengan air iaitu dua telapak tangan, mulut, hidung, wajah, dua lengan, kepala dan kaki. Manakala wuduk batin pula ialah dengan membasuh bahagian dalam dengan tujuh wasilah penyucian, iaitu bertaubat, menyesal, tidak kemaruh harta dunia, tidak ingin dipuji orang, tidak bercita-cita menjadi pemimpin, tidak menaruh dendam dan tidak hasad dengki.

Isom bin Yusuf terkesima dengan penjelasan Hatim tadi lalu berkata, "jika wudukmu seperti itu, bagaimana pula dengan solatmu wahai Abu Abdul Rahman?." Hatim menjawab, "ketika  aku sudah berdiri tegak hendak menunaikan solat, maka seluruh anggota tubuhku, aku kendurkan sehingga aku dapat melihat kaabah dengan mata hatiku. aku berdiri antara hajatku dan rasa takutku kepada Rabb, aku mantapkan dalam hatiku bahawa Allah sedang mangawasiku, sedang syurga telah berada disebelah kananku dan neraka  berada disebelah kiriku. Manakala Malaikat pencabut nyawa sudah berada dibelakangku. demikianlah 'wajah' solatku, bahkan saat itu aku merasakan seakan-akan telah menapakkan kakiku diatas titian Sirat. Dan aku tanamkan didalam fikiranku bahawa ini adalah solatku yang terakhir. Setelah itu barulah aku berniat lalu membaca takbir sebaik dan sekhusyuk mungkin. Dalam solat aku membaca surah-surah al-quran sambil meneliti ertinya. Lalu aku rukuk dengan penuh kerendahan dan sujud dengan penuh kehambaan. Dalam tasyahud, aku tumpahkan seluruh harapanku dan akhirnya aku ucapkan salam dengan hati penuh tulus ikhlas".

Isom bertanya lagi, " sejak bila kamu melakukan solat dengan cara seperti ini wahai Abu Abdul Raahman?" Hatim menjawab. " Aku lakukan sejak aku menyedari bahawa aku hanyalah seorang makhluk  dan aku ada kerana ada yang menciptaku. Kalaupun sekarang aku masih hidup, pada akhirnya aku pasti akan meninggalkan dunia yang fana ini. Kemudian aku dihisab lalu aku diseksa atau diberi pahala. tetapi, jika kamu bertanyakan  sudah berapa tahunkah aku melakukan wuduk dan solat seperti ini, maka jawabku baru tiga puluh tahun"

Kenapa Solat Dikatakan Tiang Agama...

Ibadah solat mengandungi ibadah rukun Islam,  Sebagaimana sabda Rasulullah : "Islam ditegakkan atas lima sendi". Ia terdiri daripada Syahadah, solat, zakat, puasa dan haji.. Dalam ibadah solat ada keharusan bertasyahud, mengungkapkan kesaksian diatas keesaan Allah pada pertengahan dan akhir solat.

Solat mencakupi haji yang beerti menuju Baitullah, maka solat diwajibkan menghadap kearah kiblat. Solat mencakup zakat. Mengeluarkan zakat membuat harta menjadi kurang. demikian pula dengan solat, Apabila kiat bersolat membuatkan waktu untuk aktiviti lain dan pekerjaan berkurang.

Solat mancakup puasa. Orang yang berpuasa harus menahan diri daripada segala sesuatu yang membatalkan puasa. demikin juga dengan solat, harus berjuang menghadapi godaan syaitan disaat menunaikan solat. sebab itulah tempat solat disebut Mihrab. Mihrab adalah tempat Harb (Perang) melawan syaitan, dengan menegakkan solat didalamnya.

Oleh sebab itu, solat para nabi dan kekasih Allah yang mencakupi lima deminsi ibadah dalam islam. Ibadah solat disebut Tiang Agama, kerana mengandungi lima elemen utama ibadah Islam. Dan solat merupakan  medium komunikasi paling tepat untuk mendekatkan diri  kepada Allah. Rasulullah sentiasa berpesan kepada umatnya untuk menjadikan solat 'wasilah' (perantara) mendekatkan diri dan berinteraksi dengan Allah..

26 April 2010

Sabar...

Sabar ialah satu sifat yang mulia, hari ini kita dapat lihat bukan sahaja orang baik sanggup bersabar, malah orang yang mahu melakukan kejahatan lagi bersabar dari orang yang melakukan ibadah kepada Allah. . Sebagai contoh, ketika kita bersolat, didalam fikirang kita hanya berfikir mahu menyelesaikan solat dengar kadar sesegera yang mungkin, sehinggakan membaca bacaan didalam solat hanya bacaan rukun sahaja, bacaan yang sunat itu buat sekiranya rajin. Tetapi cuba kita bayangkan, orang yang mahu melakukan kejahatan, dia sanggup merancang dengan teliti dan seterusnya menunggu dengan penuh sabar masa yang sesuai untuk melakukan tindakan seterusnya, walaupun memakan masa berjam-jam malah berhari-hari. Mereka sabar menunggu untuk menunaikan hajat mereka untuk melakukan kejahatan tersebut.

Sekiranya untuk melakukan kerja kejahatan pun kita kena bersabar, apatah lagi untuk melakukan kerja amal ibadah kepada Allah, mestilah memerlukan tahap kesabaran yang lebih tinggi lagi. Ini kerana kerja kita itu melibatkan penilaian dari Maha Pencipta. Bersabar dalam melakukan kerja haram, adalah haram dan bersabar didalam melakukan ketaatan kepada Allah, adalah Wajib.

Firman Allah yang bermaksud:
"... sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".
(Al-Zumar:10)

Iman terdiri daripada dua bahagian, separuh daripadanya ialah sabar, manakala separuh lagi adalah bersyukur. Kerana itu tidak hairanlah kalau orang Melayu kita selalu berkata "sabar itu separuh dari iman"

Untuk memperolehi sifat sabar itu ialah dengan diberi ujian oleh Allah dan tidak risau atau gelisah didalam menghadapi ujian tersebut. Ujian Allah merangkumi  kesusahan dan kesenangan. Firman Allah yang bermaksud
"... dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan."
(Al-Anbiaya':35)

Menurut ibn Qudamah al-Maqdisi, seseorang itu dikira sebagai kuat dan hebat, apabila dapat bersabar dalam menghadapi kesenangan. Ini kerana situasi susah dilihat dengan jelas oleh seseorang bukan sahaja oleh ulama', bahkan orang awam biasa, sebaliknya dalam situasi seseorang senang dan mewah, jarang orang dapat melihat ianya merupakan satu ujian Allah. Sabar dalam situasi senag mempunyai hubungkait dengan sifat syukur, kerana adanya keinginan nafsu untuk melakukan apa sahaja, ketika itu. Kerana itu orang yang lapar, lebih mampu bersabar berbanding dengan orang yang dihidangkan  dengan makanan yang lazat-lazat.

Orang yang sabar mempunyai kelebihan yang besar, antaranya diredhoi Allah kehidupanya. Sabda Rasulullah s.a.w didalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi Anas bin Malik r.a:
" Sesungguhnya besarnya balasan, bergantung kepada besarnya ujian. sesungguhnya apabila Allah s.w.t mengasihi sesuatu kaum, dia akan menguji  kaum itu. Sesiapa dari kalangan kaum itu yang redho menghadapi ujian Allah, Allah akan redho kepadanya dan sesiapa sahaja dari kalangan kaum itu, yang tidak suka menghadapi ujian Allah, Allah juga tidak suka kepadanya"

Dalam apa situasi sekalipun, orang-orang islam dikehendaki mengamalkan sikap sabar, kerana ia merupakan senjata para nabi, wali, orang-orang yang benar dan juga orang-orang yang soleh semenjak zaman dahulu. Pada peringkat awal, sabar sangat menyakitkan jiwa dan tubuh badan, namun pada peringkat akhirnya ia akan  menghasilkan kejayaan yang sangat manis.

23 April 2010

Tua oh tua....

Waktu muda adalah kemuncak kesempurnaan hidup kita. Orang muda selalunya lebih bertenaga, berdaya tahan, bermotivasi dan kuat pergerakannya. Ketika kita di usia tua, tenaga yang ada pada kita semakin berkurang. Ketuaan sering dikaitkan dengan lemah. Tidak bertenaga dan tidak bermotivasi. Komitmen mereka terhadap masyarakat akan berkurang. Lantaran itu ada sesetengah orang tua tidak putus-putus membuat persiapan bagi menghadapi kematian.

Walau bagaimanapun usia tua ini dilihat  dari segi keistimewaannya, sebagai orang yang beruntung kerana telah lama hidup, banyak pengalaman dan banyak amalan kebajikan untuk menambahkan bonus jika dibandingkan dengan orang yang mati semasa muda. Itupun kalau sekiranya mereka benar-benar beriman dan beramal dengan ikhlas dan jujur. Orang tua yang berilmu, beriman, beramal dan berbakti kepada kehidupan. Kebiasaan diusia tua  begini, mata semakin kabur, pendengaran semakin kurang, gigi yang dahulu penuh  menjadi semakin jarang, ingatan yang dahulu kuat semakin menjadi pelupa, rambut yang dulunya hitam menjadi semakin putih (beruban) dan jarang. Satu demi satu keupayaan pancaindera sudah ditarik. Mereka sentiasa menyedari entah esok atau lusa  maut akan datang menjemput. Tidak kurang pula ada yang menjadi nyanyuk dan lupa.. Na'au zubillah.. Pernahkah anda membayangkan  kehidupan anda di hari tua? Apakah persediaan anda mulai sekarang?

Sekiranya dikaitkan muda dengan masa, maka waktu muda diibaratkan sebagai waktu pagi, manakala ketuaan diibaratkan sebagai waktu senja. Diwaktu awal pagi orang berlumba-lumba menjalankan pekarjaan sebelum menjelang waktu senja. Begitu juga diwaktu muda inilah masa yang paling produktif untuk bertindak mencapai cita-cita dan matlamat hidup. Keadaan hidup kita diwaktu tua amat berkait rapat dengan tindakan tindakan yang kita lakukan diwaktu muda. Kegagalan kita bertindak diwaktu muda akan menyebabkan kita kurang berjaya diwaktu tua. Dimasa kita muda, kita jangan memandang hina dan rendah kepada orang tua, ingatlah suatu masa nanti kita juga akan menjadi tua. Apa yang kita lakukan kepada mereka akan berlaku kepada diri kita apabila kita tua kelak.

Ada 4 perkara yang sering dikaitkan dengan orang tua.
  • Lemah - Suatau keadaan yang tidak bertenaga, tiada kekuatan dan lesu.
  • Sakit - Menderita kerana tubuh tidak sihat.
  • Miskin - Tiada berharta benda dan serba kekurangan.
  • Mati - Tiada bernyawa lagi.

19 April 2010

Sakit, sakit, sakit.....

Kata orang, sakit demam adalah perkara biasa dalam kehidupan manusia. Siapa yang tidak pernah langsung mendapat sakit dalam hidupnya?. Kebanyakan kita akan mengeluh apabila tiba-tiba tubuh yang sihat ditimpa sakit, Adakalanya penyakit yang menimpa kita itu, untuk memberi rahmat dan pengajaran terhadap diri kita jika kita mahu memikirkannya. Apa tidaknya, selain daripada kifarat diatas dosa yang dilakukan, sakit menjadikan kita waspada dan berhati-hati terhadap penjagaan makanan dan kesihatan dengan lebih baik.

Dimasa sihat ini kita boleh makan apa sahaja, tetapi bila sakit, kita terpaksa mengawal  makanan untuk kesihatan diri. Fenomena ini menjadikan kita  insaf untuk mengingati kebesaran  dan kekuasaan Allah SWT. Setelah sembuh kita bersyukur kepada-Nya kerana memberi peluang  kepada kita sihat semula. Lebih baik lagi jika kita dapat bertaubat, berjanji tidak akan  mensia-siakan waktu. Kalau dahulu amal ibadah dibuat sambil lewa sahaja, tetapi kini dikerjakan dengan bersungguh-sungguh kerana sentiasa mengingati mati. Selain daripada itu, melalui sakit tersebut, akan mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang kita kepada keluarga yang sebtiasa menjaga dan melayan kita semasa sakit. Hubungan saudara mara semakin erat kerana ramai saudara mara datang menziarahi kita.

Kesihatan yang baik sering dikaitkan  dengan kekuatan, produktiviti dan kesempurnaan hidup. Sakit pula dikaitkan dengan penderitaan dan ketidakselesaan . Cuba anda fikirkan beberapa aktiviti yang boleh dilakukan  oleh orang yang sihat. Mereka bebas bermain, bekerja, bersukan dan melawat. Alangkah bahagianya jika kita sentiasa sihat. Ini membolehkan kita menikmati hidup dengan riang dan gembira.

Jesteru itu, masa sihatlah kita perlu berusaha, menuntut ilmu, memantapkan diri sebagai persediaan  menghadapi masa hadapan. Sebaliknya alangkah ruginya diri kita sekiranya diwaktu sihat digunakan untuk melepak, bermain playstation, berkaraoke dan membuat taik mata (tidur). Kita sebagai manusia perlu bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan  nikmat sihat.

Marilah kita sama-sama mengunakan peluang yang masih diberikan oleh-Nya untuk kita menambah ilmu dan seterusnya dengan ilmu itu kita boleh beribadah. Sentiasa melakukan muhasabah diri dan melakukan taubat terhadapNya agar kita sentiasa berada dikalangan orang-orang yang beruntung.

Ingat mati, ingat sakit, ingatlah saat kau sulit,
Ingat-ingat hidup cuma satu kali,
Berapa dosa kau buat, berapa kali maksiat
Ingat-ingat sobat ingat lah akhirat
Cepat ucap Astaqfirullah halazim

Pandanglah kesana, lihat yang disana, 
Mereka yang ternbaring di tanah
Bukan kah mereka pernah hidup juga,
Kita pun kan menyusul mereka,
Astaqfirullah hal azim

Sebahagian dari senikata lagu WaliBand bertajuk taubat....

13 April 2010

Lama lagi ke kita ni akan hidup.... ?

Nikmat hidup adalah satu anugerah Allah.s.w.t. kepada kita. Apabila manusia hidup dialam ini, beerti ia dapat bernyawa, bernafas dan bergerak untuk menjalankan kegiatan yang telah dipertanggungjawab mentadbir dan memakmurkan bumi ini. Kalau kita mensia-siakan tugas dan masa, beerti kita juga telah mensia-siakan nikmat kehidupan yang amat berharga. Kehidupan insan semasa berada di alam rahim (kandungan ibu) amat terbatas. Waalaupun kehidupannya terbatas, namun ia mengambil masa untuk mengubah bentuk asalnya dari segumpal darah kepada rupa bentuk janin yang sempurna, Setelah cukup tempoh yang dijanjikan, janin tersebut lahirlah kedunia. Disini bermulalah perjuangan hidup kita sebagai khalifah Allah s.w.t . Kisah kehidupan kita bermula dari zaman kanak-kanak, kemudian membesar sebagai remaja dan dewasa. Semua peringkat kehidupan dialam tersebut akan memberi kesan kepada kehidupan dihari tua dan kehidupan selepas mati. Manusia diberikan tanggungjawab dan amanah oleh Allah iaitu mengabdikan diri kepada-Nya. Tempoh masa kehidupan manusia amat terbatas. Hukum Allah s.w.t kepada makhluknya menetapkan bahawa setiap yang hidup pasti akan mati.

Mafhum firman Allah s.w.t :
"Setiap yang hidup pasti akan mati..."
(Ali Imran : 185)

"Nescaya Allah akan mengampuni sebahagian dosa-dosamu dan menangguhkan kamu sampai pada waktu yang telah ditetapkan. Sesungguhnya ketetapan Allah apabila datang tidak dapat ditangguhkan, kalau kamu mengetahui"
(Surah Nuh : 4)

Lantaran kerana hidup didunia ini hanya sekali. Maka amat wajarlah semasa hidup ini kita melakukan sesuatu yang berfaedah. Isikan masa yang ada dengan mengerjakan ibadah yang diperintahkan dan melakukan amalan kebajikan yang lain. Sesungguhnya amalan tersebut dapat mengukuhkan lagi keimanan kita kepada-Nya serta dapat menghindarkan diri daripada terjebak kelembah kejahatan.

Firman Allah yang bermaksud:
"Bacalah apa yang diwahyukan kepadamu iaitu al-Quran dan dirikanlah solat. Sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa apa yang kamu kerjakan"
(Surah Al-Ankabut :45)






11 April 2010

Ada masalah ke.. ??

Apabila berdepan dengan masalah, lazimnya diri kita di selubungi tekanan, malah fikiran boleh menjadi celaru kerana memikirkan masalah yang tiada berpenghujung. Bagi meringankan tekanan, ada beberapa cara patut kita cuba buat:
  • Bersabar dengan segala yang menimpa. "Wahai anakku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan mungkar, dan bersabarlah atas segala yang menimpa. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki melakukannya". (Luqman:17)
  • Anggap masalah itu sebagai satu ujian yang akan meningkatkan keimanan dan ketabahan. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuat cabaran)? Dan sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta". (Al-Ankabuut : 2-3)
  • Setiap masalah ada  hikmahnya, seperti dapat mengugurkan dosa. Nabi s.a.w bersabda, maksudnya : "Tidaklah seorang muslim ditimpa penyakit, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti, seperti pohon-pohon yang mengugurkan  daun-daunya." (Hadis riwayat al-Bukhari)
  • Kesulitan, masalah dan kesempitan akan menyedarkan manusia bertapa kerdinya diri sebagai hamba, sekaligus menyedarkan diri akan keagungan dan kekuasaan Allah. "Orang yang apabila mereka ditimpa  oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali". (Al-Baqarah : 156)
  • Adanya masalah, kesakitan dan kesusahan, membolehkan manusia membezakan diantara keselesaan (nikmat) dan kesengsaraan (bala). Jesteru ketika inilah manusia dapat menjiwai erti kesyukuran.
  • Ujian adalah tanda Allah menyintai seseorang itu. Nabi Muhammad s.a.w  bersabda maksudnya: sesiapa yang dikehendaki Allah baginya kebaikan, akan diberikan cubaan kepadanya." (Hadis riwayat al-Bukhari)
  • Ingatlah masalah dan kesulitan yang kita hadapi lebih ringan dan lebih kecil daripada masalah yang dialami oleh orang lain.
  • Menyedari hakikat, kehidupan tidak boleh lari daripada masalah, cuma bezanya kecil atau besarnya masalah yang dihadapi. Jika masalah kecil bolehlah diselesaikan sendiri dan sekiranya besar, cubalah dapatkan mereka yang lebih berpengalaman untuk dikongsi bersama.
 Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.. cuma mungkin kita tidak berjumpa akan cara penyelesaiannya.. Tapi ingatlah.. sekiranya kita masih bergelar manusia.. masalah tidak akan lari dari kita...
Orang yang lari dari masalah adalah orang yang pengecut.. dan orang cuba yang menyelasaikan masalah adalah orang yang berani... Dimanakan kedudukan kita..? renung-renungkan..





08 April 2010

Aktivi Harian yang boleh kita buat....

Empat amalan atau aktiviti harian yang patut di buat oleh kita sebagi seorang Islam. Pada setiap hari dan malam, sepanjag hidup kita.Berikut ini disalinkan empat nasihat Imam Al-Ghazali mengenai aktiviti yang patut dibuat diwaktu pagi, selepas solat Dhuha, hingga menjelang waktu gelincir matahari, iaitu masuknya waktu untuk solat fardhu zohor:

Ada empat perkara yang boleh di buat, Kata Imam Al-Ghazali.

Pertama
Yang terlebih afdhal, bahawa engkau menghabiskan waktu mu itu dengan mencari ilmu yang bermanfaat, bukan ilmu yang sia-sia yang sangat diminati orang sekarang ini, yang mereka namakanya ilmu manfaat (padahal ia bukan ilmu yang bermanfaat). Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menambah takut dirimu kepada Allah, dan menambah penglihatanmu terhadap aib dirimu, dan menambah makrifatmu dalam engkau beribadah kepada tuhan, dan menyedikitkan kegemaranmu terhadap negeri dunia dan menambah kegemaranmu terhadap negeri akhirat, dan membukakan pintu hatimu untuk mengenali bermacam-macam penyakit amalanmu sehingga engkau dapat menjauhinya.

Dan ilmu yang bermanfaat  itu ialah ilmu yang menambah pengetahuanmu terhadap tipu helah syaitan dan penipuannya, sehingga engkau arif dengan kehalusan penipuan syaitan ketika ia menggoda ulama su' dan berjaya menjadikan mereka sebagai sasaran kemurkaan  Allah, kerana mereka telah membeli dunia dengan agama, dan menjadikan ilmu sebagai alat untuk mengambil harta sultan, memakan harta wakaf, harta anak yatim, harta orang miskin dan harta orang Islam. Di sepanjang hari mereka hanya menghabiskan masa untuk mencari pangkat dan kedudukan dihati manusia. Untuk itu mereka sanggup menunjukkan segala kebolehan dihadapan orang ramai dan memperlihatkan kefasihan lidah mereka dalam berbahas dan berbincang...

Apabila engkau telah mencuba mengamalkan wirid-wirid dan ibadah (yang telah kami sebutkan) dan engkau dapati akan dirimu tidak merasakan keberatan dan tidak merasa malas melaksanakanya, bahkan nampak pada dirimu minat yang sangat mendorong engkau untuk mencari ilmu yang bermanfaat, dan engkau tidak menghendaki dengan mencari ilmu itu kecuali hanya keredoaan Illahi.dan negeri Akhirat. Maka menuntut ilmu ketika  itu lebih afdhal daripada ib adah-ibadah sunat. Dan yang paling penting hendaklah engkau memastikan keikhlasan niatmu (kerana niatlah yang menentukan nilai amalanmu). Apabila niatmu tidak ikhlas maka disinilah tempat terpedayanga orang yang jahil dan disini pula tempat tergelincirnya kaki orang yang cerdik pandai.

Kedua,
Bahawa engkau tidak berkuasa menghasilkan ilmu yang bermanfaat tetapi engkau kuasai ibadah seperti berzikir, membaca Al-Quran, bertasbih dan sembahyang. Maka ini adalah darjat orang yang 'abid dan cara hidup orang yang  soleh. Dengan cara ini  engkau dapat tergolong didalam kumpulan orang yang beruntung.

Ketiga,
Bahawa engkau membuat sebarang pekerjaan yang dapat memberi kebaikan kepada orang-orang islam dan dapat mengembirakan hati orang-orang yang beriman, atau engkau menolong  orang yang soleh didalam pekerjaan mereka seperti berkhidmat kepada para ulama' dan ahli sufi dan ahli agama dan berulan alik dalam menunaikan hajat mereka atau berusaha  untuk memberi makanan kepada fakir miskin, atau menziarahi orang sakit, atau menghantar jenazah ke kubur, maka semua ini adalah lebih afdhal daripada semata-mata ibadah sunat sahaja. kerana amalan yang seperti ini selain sebagai satu ibadah ia juga merpuakan pertolongan kepada orang lain.

Keempat,
Jikalau engkau tidak dapat membuat salah satu daripada tiga perkara yang tersebut tadi  maka berusahalah untuk menunaikan hajatmu sendiri dan mencari nafkah bagi dirimu dan keluargamu, sedangkan orang ramai selamat daripada gangguanmu, dan mereka juga selamat dari lidah dan tanganmu. Dan agamamu pula selamat, iaitu apabila engkau tidak terlibat  dengan sebarang kemaksiatan. Maka dengan itu engkau akan dapat mencapai darjat Ash-habul Yamin, sekiranya engkau tidak dapat mencapai darjat As-Sabiqin.

(Imam Al-Ghazali, Bidayatul Hidayah:2008)


Daripada empat aktiviti yang disenaraikan tersebut.. dimanakah kedudukan kita??....renung-renungkan..

07 April 2010

Kalau kita lah agaknya , denga siapa kita takut...?

Anak-anak orang muslim sedang asyik bermain di pinggir koat Madinah. Tiba-tiba suasana gempar seketika. Anak-anak tadi bertempiaran lari memyembunyikan diri. Mengapa?. Rupa-rupanya mereka melihat Saidina Umar Ibnu Khattab sedang berjalan melalui tempat mereka bermain. Anak-anak kecil itu gerun dengan sikap tegas yang ada dalam jiwa Umar.

Namun dalam kekalutan itu, ada seorang budak yang tidak lari, bahkan terus bermain seolah-olah tiadak ada apa-apa yang berlaku. Saidina Umar melihat keberanian budak itu lalu bertanya, "Mengapa engkau tidak lari bersama kawan-kawanmu?"

Anak itu menjawab dengan berani, Ibu saya mengajar saya agar takut hanya pada Allah sahaja, bukan pada manusia."

"Siapa namamu?"...
"Abdullah bin Zubair'"

Abdullah bin Zubair adalah anak Asma' binti Abu Bakar. Hasil didikan ibunya. apabila dewasa, ia menjadi seorang abid dan mujahid...

Persoalanya...
Dapatkah kita mendidik anak-anak kita seperti Asma' mendidik anaknya...
Atau mampukan kita mendidik anak kita sehingga menjadi seperti Abdullah bin Zubair....??


Apa tujuan kita hidup agaknya..?

Matlamat dan peranan kita dalam hidup ini telah dijelaskan oleh aqidah islam sejelas-jelasnya. Kita tidak dijadikan sia-sia dan tidak dibiarkan begitu sahaja. Kita dijadikan untuk tujuan  dan hikmah tertentu. Ia tidak dijadikan untuk dirinya, atau untuk menjadi hamba kepada salah satu unsur alam ini. Kita juga tidak dijadikan untuk berseronok sebagaimana binatang berseronok.Bukan juga dijadikan untuk hidup beberapa tahun yang pendek atau panjang kemudian ditelan tanah, dimakan ulat dan dimamah kebinasaan.

Sesungguhnya kita dijadikan untuk mengenal dan menyembah Allah serta menjadi khalifah di muka bumi. Kita memikul amanah terbesar dalam hidup yang pendek ini, amanah taklif dan tanggungjawab. Manusia ditapis dengan dugaan  dan digilap dengan tanggungjawab. Dengan itu ia menjadi matang dan bersedia untuk kehidupan yang lain, iaitu kehidupan yang kekal selama-lamanya tanpa penghujung.

Kita tidak dijadikan untuk diri kita sendiri, tatapi kita dijadikan untuk menyembah Allah. Kita tidak dijadikan hanya untuk  hidup didunia yang kecil dan binasa ini, tetapi kita dijadikan  untuk kehidupan yang kekal abadi, ia dijadikan untuk selama-lamanya.

Ada orang berkata: " Si bodoh hidup kerana mahu makan manakala orang orang berakal makan kerana mahu hidup". Penyataan ini tidak menyelesaikan masalah kerana hidup itu sendiri bukan satu tujuan, persoalan masih tetap ada, kenapa manusia hidup?

Adapun para metrialis menjawab: " Sesungguhnya manusia hidup untuk dirinya sendiri dan untuk mengecapi nikmat dunia". Manakala orang yang beriman menjawab: "Manusia hidup hanya kerana Tuhannya yang Maha Tinggi dan untuk hidupnya yang kekal abadi". Firman Allah s.w.t:

" Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada apa-apa kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah ciptaan itu?. Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?  Maka (dengan  yang demikian) Maha Tinggi Allah yang menguasai seluruh alam, lagi yang tetap benar".
(al-Mukminun: 115-116)

Alangkah besarnya perbezaan antara orang yang hidup untuk dirinya dengan orang yang hidup untuk Tuhanya, diantara orang yang hidup didunia yang terbatas dengan hidup untuk kehidupan yang tidak terbatas dari segi zaman dan tempat.

Sesungguhnya teori kebendaan yang menginkari tuhan tidak mengetahui matlamat hidup kita, kerana matlamat perlu kepada niat dan niat perlu pula kepada orang yang berucap. Sedangkan teori ini menolak manusia itu dijadikan dengan maksud tertentu. Kerana itu manusia pada pandangannya tidak mempunyai tugas dan peranan selain dari bertungkus lumus untuk memenuhi dan memperbaiki kehendak hidup.

Dengan kata lain, Manusia hidup kerana perhiasan dunia dan keseronokan, tidak lebih daripada itu. Apabila usia manusia tamat dalam masa yang pendek maka berakhirlah segala-galanya. Alangkah benarnya perkataan Al-Quran: "Katakanlah, harta benda yang menjadi kesenangan didunia ini adalah sedikit sahaja". (An-Nisaa': 77)

06 April 2010

Kisah dan tauladan..

Cuba kita baca cerita yang dibawakan dibawah ini.. semoga ia dapat memberi sedikit pengajaran dan kesedaran kepada kita semua...

Diriwayatkan bahawa pernah suatu musim kemarau menimpa Bani Israil dalam beberapa tahun yang berterusan. Ada seorang perempuan memiliki sepotong roti. Diletakkan roti itu pada mulutnya untuk dimakan. Tiba-tiba datang seorang pengemis didepan pintu dan berkata, "Berilah aku kerana Allah, sepotong roti sahaja."

Perempuan itu mengeluarkan roti itu dari mulutnya dan diserahkan kepada pengemis itu. Kemudian perempuan itu keluar kepadang belantara untuk mencai kayu. Dia mempunyai seorang anak kecil yang turut dibawanya bersama. Tiba-tiba datang seekor serigala dan menangkap anak kecil itu serta membawa lari. Terdengar suara jeritan. Bersegeralah perempuan itu mencari jejak serigala. Lalu Allah swt mengutu Malaikat Jibril a.s. dan mengeluarkan anak itu dari mulut serigala.

Diserahkan anak itu kepada ibunya seraya berkata padanya, "Hai perempuan hamba Allah, puaskah engkau sesuap roti diganti dengan keselamatan anak?." Lalu perempuan itu menjawab , "Ya"

Terdengar suara mengatakan, "Demikianlah balasan kepada orang yang mengasihi orang miskin dan kelaparan. Kami selamatkan dan kami pelihara sebagai balasan bagi orang yang berbuat baik."

05 April 2010

Golongan manakah kita..?

Allah menciptakan manusia terdiridari dua kategori iaitu golongan yang mempunyai martabat tinggi dan golongan yang mempunyai martabat rendah. Allah menciptakan 'Illiyyin sebagai tempat kediaman hamba-hambaNya yang mempunyai martabat yang tinggi. Manakala Asfala Safilin pula adalah tempat kediaman golongan yang hina dan rendah. Allah s.w.t juga menjadikan hamba-hambaNya  yang taat sebagai golongan yang bermartabat tinggi didunia dan akhirat. Golongan yang melakukan dosa dan maksiat, adalah golongan  yang paling rendah martabatnya didunia dan akhirat.

Hamba yang taat juga dijadikan Allah sebagai makhluknya yang palin mulia. Pelaku maksiat adalah makhluk-Nya yang paling hina. Bagi kumpulan pertama, Allah memberikan kepada kekuatan dan kemuliaan. Bagi golongan yang kedua, mereka 'dianugerahkan' kehinaan.


Dalam musnad Imam Ahmad didapati:
"Ku jadikan kehinaan keatas orang yang menyalahi perintah-Ku. Setiap hamba yang melakukan dosa dan maksiat, dia turut menuju darjat atau taraf yang rendah. Dia tetap berada dalam tangga yang menurun sehingga dia termasuk golongan al-Asfalin (kumpulan yang paling rendah). Setiap hamba yang melakukan ketaatan, darjatnya semakin tinggi. Dia tetap berada dalam tangga kenaikan sehingga dia tergolong didalam kumpulan al-A'alayiin (orang yang berkedudukan atau bertaraf tinggi)."


Kadang-kadang dalam hari-hari yang dilalaui oleh  seorang hamba, berlaku proses 'kenaikan' daripada satu segi dan proses 'penurunan' pula daripada segi yang lain. Mana satu diantara kedua-dua proses ini yang lebih banyak berlaku atau paling dominan. dia akan tergolong dalam kelompok tersebut. Tidak sama keadaan orang yang mengalami kenaikan  100 kali dan menghadapi penurunan sekali sahaja. Ini tidak sama dengan orang yang mengalami keadaan sebaliknya.

Sebenarnya, dalam hal ini banyak orang mengalami kekeliruan atau kesilapan besar. Iaitu seseorang hamba kadang-kadang mengalami 'penurunan' kedalam jurang yang amat dalam, bahkan lebih dalam atau lebih jarak dari jarak timur ke barat atau antara bumi dan langit. Padahal penurunan yang sekali itu tidak tidak dapat diatasi  atau diimbangi  dengan menaiki tangga kenaikan 1000 kali. Ini sesuai dengan hadis  sahih, daripada Rasulullah s.a.w dimana baginda bersabda:

" Sesungguhnya seorang hamba menuturkan satu perkataan (sahaja) padahal dia tidak mengambilberat perkataan tersebut, dia akan terjun disebabkannya kedalam neraka Jahannam sejauh jarak antara timur dan barat"
Sahih Muslim



Agak-agaknya pernah tak kita buat benda ni...?


1. Makan sambil mendengar ayat-ayat suci Al-Quran.
2. Berzikir ketika berehat atau melepak dimana-mana
3. Melawat sambil berdakwah kepada rakan dan taulan
4. Membaca buku sewaktu menunggu sesuatu yang pastinya makan masa
5. Membuat catatan ketika membaca sesuatu buku
6. Membuat catatan ketika mendengar ceramah..
  • Tapi awas!! 
1. Anda jangan makan ketika membuang air besar
2. Jangan tidur semasa mendengar khutbah Jumaat
3. Jangan tidur ketika anda memandu kenderaan

Fikirkan apa kesanya kepada diri anda sekiranya  landa melakukan perkara-perkara diatas..
Cuba kita fikirkan bersama ye..


04 April 2010

Mahu atau tidak mahu..?

Ingatlah kita, bahawa sesungguhnya kita ni milik Allah. Beriman adalah hidayah daripadaNya. Dapat melakukan amal ibadah adalah inayah (pertolongan) daripadaNya.. Jika Allah bukakan pintu hati seseorang, akan mudahlah baginya melalkukan kebaikan dan beramal ibadah kepada-Nya.

Nabi Muhammad s.a.w pernah mengajar seorang sahabatnya supaya berdoa kepada Allah memohon kekuatan untuk beribadat. Inilah doa yang diajarkan oleh baginda:

اللهم اعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

"Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, Bersyukur kepada-Mu dan memperelok amal amal ibadah kepada-Mu."

Ingatlah bahawa Allah memberikan keinginan kepada kita untuk melakukan sesuatu kebaikan. Orang yang diberika taufik dan hidayah akan mudah untuk melakukan kebaikan dan amal ibadah... bertapa oemurahnya Allah yang telah menjanjikan  pahala yang cukup banyak, berlipatganda untuk diraih oleh hamba-hamba-Nya.

Tanpa Hidayah dan bantuan daripada Allah, manusia tidak akan dapat tunduk kepada Allah walaupun hanya untuk sekali sujud. Oleh itu, orang yang gagah dan sasa, mampu berlari berpuluh-puluh kilometer tanpa henti, mampu bekerja siang  dan malam, belum tentu mampu untuk bangun ditengah malam untuk bertahajjud mengabdikan diri kepada Allah. Semua kebaikan yang dilakukan oleh seseorang hamba adalah atas inayah Allah.

Orang yang tidak melakukan amal ibadah semasa hidupnya akan menyesal yang teramat diakhirat kelak. Mereka sentiasa disibukkan oleh urusan keduniaan sehingga meninggalkan peluang dan kesempatan beribadah. Kata Ibnu Muqaffa, "Orang yang akan menyesal adalah orang yang kehilangan kesempatan untuk beramal". Ia mati sebelum sempat beramal.

Keinginan untuk beribadah adalah anugerah daripada Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Berdoalah kepadaNya agar kita termasuk didalam golongan orang yang terpilih sebagai ahli ibadah yang gigih, diberikan halawatul ibadah  atau kemanisan dalam beribadah seperti yang telah diberikan kepada ahli ibadah yang terdahulu. Mereka berlumba-lumba untuk melakukan ibadah, mereka menunggu waktu malam untuk bermunajat dan bertahajjud..

Mudah-mudahan Allah membantu kita untuk mendekatkan diri kepadaNya. Berdoalah memohon pertolongan Allah untuk beribadah kerana sekiranya kita memohon dariNya, insyaallah akan dikabulkan permintaan kita...

Dimana ada kemahuan disitu ada jalan....



02 April 2010

Ganjaran usaha kita semasa hidup dan selepas mati...

Cuba kita bayangkan, bagaimanakah keadaan hidup kita ketika menemui Allah swt. seandainya semasa hidup kita melakukan amal ibadah ala kadar sahaja..  seperti kata pepatah sekadar melepaskan batuk ditangga.. selepas mati, bagaimanakah kita menempuh alam kubur yang gelap gelita?  Bagaimanakah untuk kita berhadapan dengan malaikat Munkar dan Nakir ?  Pernahkah kita terfikir semua itu... peduli atau tidak pedulikah kita?   Amat malang lah sekiranya semasa hidup kita didunia ini lagi menderita manakala semasa diakhirat kita pula sensara akibat perbuatan kita  sendiri....

Wahai sahabat-sahabat ku sekelian... marilah kita menginsafi diri sendiri.. Tiada orang lain yang dapat membantu kita kecuali diri kita sendiri.. Semua perbuatan dan perlakuan kita semasa di dunia membayangkan apa yang kita mahukan diakhirat kelak..  hidup kita didunia ini hanyalah sementara sahaja.. Dunia ini umpama jambatan menuju ke alam akhirat..  Walaupun ada antara kita yang ingin hidup selamanya didunia.. tapi ingatlah.. Allah itu Maha mengotakan janjinya....

Mari kita renungkan lirik nasyid yang amat popular dikalangan kita.. kalau yang tak pernah dengar.. cuba-cuba carilah....

Hidup ini bagai lampu dinding
Yang dinyalakan di malam hari
Apabila minyak sudah kering 
Dia akan pasti padam sendiri

Setelah kita tinggalkan dunia
Alam yang lain pula menanti
Apakah kita dapat kurnia
Dari segala amal dan Bakti

Disana insan cemas dan bimbang
Tak dapat lagi buat alasan
Buruk dan baik akan ditimbang
Kedua-duanya dapat balasan

Oleh itu.. disamping saya mengingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat ku... marilah kita gunakan masa dan peluang yang masih ada ini untuk membina kejayaan dan kebahagian didunia dan di akhirat.. Janganlah kita terlalu leka dengan keseronokan dunia yang hanya sementara dan kita melupakan kenikmatan yang berkekalan di akhirat.. wallah hu a'lam...



01 April 2010

Selalulah bertaubat.....

Jiwa kita diumpamakan sebagai sebuah mentol lampu yang terang, Namun setiap kali kita melakukan dosa dan maksiat, satu titik hitam akan melekat kedalam hati dan jiwa kita. Lama kelamaan mentol yang bersinar terang itu akan dilitupi oleh titik hitam sehingga mentol yang terang itu tidak dapat lagi menembuskan cahayanya. Begitulah jiwa kita, yang perlu dibersihkan supaya cahaya dapat memancar untuk menunjuk jalan. Oleh itu, sucikanlah jiwa dengan banyak beristighfar memohon keampunan daripada Allah. Bertaubat diatas ketelanjuran sama ada terhadap Allah atau sesama manusia, bertaubatlah dengan taubat nasuha iaitu:

1. Segera meninggalkan maksiat dari terus dilakukan.

2. Menyesal diatas perlakuan maksiat yang telah dilakukan.

3. Berazam untuk tidak mengulangi maksiat.

Itulah syarat taubat nasuha yang dapat menyucikan jiwa. Apabila jiwa telah suci akan terpancarlah hidayah Allah.  Apabila jiwa telah dipenuhi dengan hidayah Allah, diri akan dapat berubah untuk mengerjakan amalan kebaikan. Waktu subuh tidak lagi terlewat, malah saat menunggunya diisi dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Memperbanyakan amalan lain sesama manusia seperti berjabat tangan mengeratkan hubungan silaturrahim, hati diisi dengan  kasih sayang melalui zakat, membuang sifat dendam dan dengki yang selama ini terpalit dihati. Tiada lagi kata nista, umpat dan keji meniti di bibir, alunan zikir bertali arus menunjukkan rasa rindu dan kasih  seorang hamba kepada Tuhannya. Tangan kanan menghulur sumbangan kepada yang memerlukan  sebagai tanda persaudaraan sesama islam. Surau dan masjid dipenuhi dengan umat islam bagi mengerjakan solat secara berjamaah. Sucikan jiwa dan ikhlaskan hati bagi kita memulakan hidup baru, sebagai garis permulaan kearah kejayaan abadi didunia dan akhirat


Mudah-mudahan dengan taubat yang kita lakukan dapat menyucikan jiwa kita daripada segala dosa yang sekian lama meyeliputi jiwa kita. Mohonlah keampunan  dan pertolongan  daripada Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...


Muhasabah diri...

Setiap manusia dikalangan kita ada kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Menyedari hakikat ini.... kita perlu menggunakansisa-sisa  masa yang masih ada untuk muhasabah diri, melihat apakah kekurangan  atau kesilapan yang kita lakukan pada hari tersebut. Kita tanya pada diri kita apakah yang telah kita buat? Bagaimanakah kita menggunakan masa kita seharian? Sudahkah kita menyempurnakan tanggungjawab terhadap Allah Maha pencipta, terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan alam sekitar?...

Melalui muhasabah diri, kita dapat memperbaiki kelemahan, kekurangan yang sedia ada. sikap megah, berbangga dengan keupayaan diri dan suka menuduh kelemahan diri orang lain adalah dilarang dalam islam... Sebaliknya kita hendaklah bersikap terbuka  dan sedia menerima pendapat, pandangan dan teguran dari orang lain bagi memperbaiki kelemaha diri. Dengan ini kita dapat membina kekuatan diri serta ketahan jiwa..

Dari kekuatan diri akan melahirkan insan yang matang dalam membuat sesuatu tindakan dan boleh berfikir secara rasional... jika sekiranya kita menyedari yang kita telah melakukan kesilapan terhadap orang lain... Janganlah rasa malu untuk memohon maaf daripada orang berkenaan.. Kalau kita berdosa dengan Allah swt.. kita hendaklah memohon keampunanNya serat bertaubat tidak akan mengulangi kesalahan dan dosa yang dilakukan  samada secara sedar atau tidak..  Oleh itu janganlah kita lupa,...  mohonlah selalu keampunan Allah swt dan bertaubatlah segera sebelum kita terlambat... penyesalan tiada berguna lagi..

Dunia Yang Wujud Pada Manusia

Hari ini saya berkesempatan membelek buku karangan Iman Al-Ghazali iaitu Ihya Ulum al-Din.. Saya tertarik kepada cerita yang berkaitan dengan Dunia yang wujud pada manusia hari ini. Dikesempan ini saya akan coretkan sedikit dari petika kisah pasal dunia ini... Mungkin ada di kalangan kita yang tidak berkesempatan untuk membelek buku tersebut. Maka sama samalah kita mengambil pengajaran dan iktibar dari kisah yang akan di paparkan..

Dunia yang wujud pada manusia terbahagi kepada tiga bahagian. Diantaranya perlu untuk kebahagian manusia diakhirat dan sebahagiannya pula tiada kaitan.

Bahagian pertama terdiri daripada semua aktiviti keduniaan yang ada hubungan  kehidupan manusia sesudah mati (akhirat). Aktiviti tersebut ialah ilmu dan amal, dengan syarat mereka memperolihinya dengan tujuan untuk  kehidupan akhirat walaupun bahagian ini memberi nikmat kesedapan  dan keseronokan tetapi tidak termasuk dalam pengertian dunia yang tercela.


Bahagian Kedua ialah aktiviti yang memberi  keseronokan  didunia ini tetapi membawa kesengsaraan diakhirat. Aktiviti ini terdiri daripada dosa atau nikmat yang dibenarkan oleh syariat, tetapi dengan cara yang berlebih-lebihan. Inilah yang dimaksudkan dengan pengertian dunia yang tercela.

Bahagian ketiga ialah semua perkara yang memberi keseronokan tetapi dilakukannya  dengan bantuan ilmu dan amal . Ini termasuk hubungan seks yang sah, makan dan pakaian yang seharusnya. Bahagian ini tidak tergolong  pengertian dunia yang tercela kerana kenikmatan dan keseronokan yang diperolihi oleh manusia secara sah.

Pada pendapat Imam Al-Ghazali, setiap  perkara yang bersifat keduniaan yang tidak penting atau tidak mempunyai hubungan dengan kehidupan akhirat adalah tercela.Seorang yang memiliki sifat cintakan dunia  yang tercela adalah individu yang mempunyai personaliti abnormal. Ini menunjukkan ada unsur-unsur kearah pemuasan hawa nafsu secara berlebihan. Bagi Imam Al-Ghazali, cinta dunia adalah sifat individu yang sentiasa menggunakan kesenangan dan keseronokan  dunia  secara berlebihan dari apa yang sebenarnya  diperlukan.

Dari apa yang telah disampaikan oleh Imam Al-Ghazali, dapat di buat kesimpulan bahawa diri kita ini sering menyibukan diri dengan aktiviti keduniaan dan keuntungan sehinggakan kita lupa tujuan kita dihidupkan dan apakah matlamat kehidupan itu sebenarnya. kita sering terlupa kepada Allah dan akhirat sebagai tempat kembali yang kekal abadi... Kita sering terpedaya dengan perhiasan dunia sedangkan tiada satupun daripada perhiasan tersebut dapat menemani kita setelah mati malah perkara tersebut hanya menambah beban dan menjadikan kita sentiasa dalam kebimbangan dan kesedihan..

Petikan diatas diambil dari kitab Ihya Ulum al-Din ...

Semoga ianya dapat memberikan kesedaram kepada kita semua.. amin