Sesungguhnya kita dijadikan untuk mengenal dan menyembah Allah serta menjadi khalifah di muka bumi. Kita memikul amanah terbesar dalam hidup yang pendek ini, amanah taklif dan tanggungjawab. Manusia ditapis dengan dugaan dan digilap dengan tanggungjawab. Dengan itu ia menjadi matang dan bersedia untuk kehidupan yang lain, iaitu kehidupan yang kekal selama-lamanya tanpa penghujung.
Kita tidak dijadikan untuk diri kita sendiri, tatapi kita dijadikan untuk menyembah Allah. Kita tidak dijadikan hanya untuk hidup didunia yang kecil dan binasa ini, tetapi kita dijadikan untuk kehidupan yang kekal abadi, ia dijadikan untuk selama-lamanya.
Ada orang berkata: " Si bodoh hidup kerana mahu makan manakala orang orang berakal makan kerana mahu hidup". Penyataan ini tidak menyelesaikan masalah kerana hidup itu sendiri bukan satu tujuan, persoalan masih tetap ada, kenapa manusia hidup?
Adapun para metrialis menjawab: " Sesungguhnya manusia hidup untuk dirinya sendiri dan untuk mengecapi nikmat dunia". Manakala orang yang beriman menjawab: "Manusia hidup hanya kerana Tuhannya yang Maha Tinggi dan untuk hidupnya yang kekal abadi". Firman Allah s.w.t:
" Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada apa-apa kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah ciptaan itu?. Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggi Allah yang menguasai seluruh alam, lagi yang tetap benar".
(al-Mukminun: 115-116)
Alangkah besarnya perbezaan antara orang yang hidup untuk dirinya dengan orang yang hidup untuk Tuhanya, diantara orang yang hidup didunia yang terbatas dengan hidup untuk kehidupan yang tidak terbatas dari segi zaman dan tempat.
Sesungguhnya teori kebendaan yang menginkari tuhan tidak mengetahui matlamat hidup kita, kerana matlamat perlu kepada niat dan niat perlu pula kepada orang yang berucap. Sedangkan teori ini menolak manusia itu dijadikan dengan maksud tertentu. Kerana itu manusia pada pandangannya tidak mempunyai tugas dan peranan selain dari bertungkus lumus untuk memenuhi dan memperbaiki kehendak hidup.
Dengan kata lain, Manusia hidup kerana perhiasan dunia dan keseronokan, tidak lebih daripada itu. Apabila usia manusia tamat dalam masa yang pendek maka berakhirlah segala-galanya. Alangkah benarnya perkataan Al-Quran: "Katakanlah, harta benda yang menjadi kesenangan didunia ini adalah sedikit sahaja". (An-Nisaa': 77)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan