Sekiranya untuk melakukan kerja kejahatan pun kita kena bersabar, apatah lagi untuk melakukan kerja amal ibadah kepada Allah, mestilah memerlukan tahap kesabaran yang lebih tinggi lagi. Ini kerana kerja kita itu melibatkan penilaian dari Maha Pencipta. Bersabar dalam melakukan kerja haram, adalah haram dan bersabar didalam melakukan ketaatan kepada Allah, adalah Wajib.
Firman Allah yang bermaksud:
"... sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".
(Al-Zumar:10)
Iman terdiri daripada dua bahagian, separuh daripadanya ialah sabar, manakala separuh lagi adalah bersyukur. Kerana itu tidak hairanlah kalau orang Melayu kita selalu berkata "sabar itu separuh dari iman"
Untuk memperolehi sifat sabar itu ialah dengan diberi ujian oleh Allah dan tidak risau atau gelisah didalam menghadapi ujian tersebut. Ujian Allah merangkumi kesusahan dan kesenangan. Firman Allah yang bermaksud
"... dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan."
(Al-Anbiaya':35)
Menurut ibn Qudamah al-Maqdisi, seseorang itu dikira sebagai kuat dan hebat, apabila dapat bersabar dalam menghadapi kesenangan. Ini kerana situasi susah dilihat dengan jelas oleh seseorang bukan sahaja oleh ulama', bahkan orang awam biasa, sebaliknya dalam situasi seseorang senang dan mewah, jarang orang dapat melihat ianya merupakan satu ujian Allah. Sabar dalam situasi senag mempunyai hubungkait dengan sifat syukur, kerana adanya keinginan nafsu untuk melakukan apa sahaja, ketika itu. Kerana itu orang yang lapar, lebih mampu bersabar berbanding dengan orang yang dihidangkan dengan makanan yang lazat-lazat.
Orang yang sabar mempunyai kelebihan yang besar, antaranya diredhoi Allah kehidupanya. Sabda Rasulullah s.a.w didalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi Anas bin Malik r.a:
" Sesungguhnya besarnya balasan, bergantung kepada besarnya ujian. sesungguhnya apabila Allah s.w.t mengasihi sesuatu kaum, dia akan menguji kaum itu. Sesiapa dari kalangan kaum itu yang redho menghadapi ujian Allah, Allah akan redho kepadanya dan sesiapa sahaja dari kalangan kaum itu, yang tidak suka menghadapi ujian Allah, Allah juga tidak suka kepadanya"
Dalam apa situasi sekalipun, orang-orang islam dikehendaki mengamalkan sikap sabar, kerana ia merupakan senjata para nabi, wali, orang-orang yang benar dan juga orang-orang yang soleh semenjak zaman dahulu. Pada peringkat awal, sabar sangat menyakitkan jiwa dan tubuh badan, namun pada peringkat akhirnya ia akan menghasilkan kejayaan yang sangat manis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan