Suatu hari, Isom bin Yusuf mendatangi halaqah (pengajian) Hatim al-Asom. Dalam halaqah tersebut Hatim mengajar nilai-nilai ketauhidan untuk bekal para jemahnya meniti jalan Allah. Halaqah tersebut berakhir apabila masuk waktu solat. semua hadirin bersiap-siap untuk mendirikan solat lantas pergi mengambil wuduk. Ketika hendak berwuduk, tiba-tiba mata Isom bin Yusuf tertuju kepada Hatim al-Asom, yang berlengah menyelesaikan wuduknya. Bahkan dia tetap berdiri tegak didepan air dan dia melewatkan membasuh anggota tubuhnya.
Melihat keadaan tersebut Isom bertanya kepada Hatim, "Mengapa kamu tidak menyegerakan wudukmu wahai Abu Abdul Rahman?. Hatim menjawab, "Sesungguhnya aku memulakan wudukku dengan wuduk batin".
Dengan sedikit tercengang Isom bertanya, "Wuduk batin? apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan wuduk batin?" Hatim menjelaskan, "Apabila aku berwuduk, aku lakukan dua jenis wuduk. Pertama wuduk zahir dan kedua wuduk batin. Aku memulaikan dulu dengan wuduk batin, wuduk zahir pula aku membasuh anggota tubuh yang tujuh dengan air iaitu dua telapak tangan, mulut, hidung, wajah, dua lengan, kepala dan kaki. Manakala wuduk batin pula ialah dengan membasuh bahagian dalam dengan tujuh wasilah penyucian, iaitu bertaubat, menyesal, tidak kemaruh harta dunia, tidak ingin dipuji orang, tidak bercita-cita menjadi pemimpin, tidak menaruh dendam dan tidak hasad dengki.
Isom bin Yusuf terkesima dengan penjelasan Hatim tadi lalu berkata, "jika wudukmu seperti itu, bagaimana pula dengan solatmu wahai Abu Abdul Rahman?." Hatim menjawab, "ketika aku sudah berdiri tegak hendak menunaikan solat, maka seluruh anggota tubuhku, aku kendurkan sehingga aku dapat melihat kaabah dengan mata hatiku. aku berdiri antara hajatku dan rasa takutku kepada Rabb, aku mantapkan dalam hatiku bahawa Allah sedang mangawasiku, sedang syurga telah berada disebelah kananku dan neraka berada disebelah kiriku. Manakala Malaikat pencabut nyawa sudah berada dibelakangku. demikianlah 'wajah' solatku, bahkan saat itu aku merasakan seakan-akan telah menapakkan kakiku diatas titian Sirat. Dan aku tanamkan didalam fikiranku bahawa ini adalah solatku yang terakhir. Setelah itu barulah aku berniat lalu membaca takbir sebaik dan sekhusyuk mungkin. Dalam solat aku membaca surah-surah al-quran sambil meneliti ertinya. Lalu aku rukuk dengan penuh kerendahan dan sujud dengan penuh kehambaan. Dalam tasyahud, aku tumpahkan seluruh harapanku dan akhirnya aku ucapkan salam dengan hati penuh tulus ikhlas".
Isom bertanya lagi, " sejak bila kamu melakukan solat dengan cara seperti ini wahai Abu Abdul Raahman?" Hatim menjawab. " Aku lakukan sejak aku menyedari bahawa aku hanyalah seorang makhluk dan aku ada kerana ada yang menciptaku. Kalaupun sekarang aku masih hidup, pada akhirnya aku pasti akan meninggalkan dunia yang fana ini. Kemudian aku dihisab lalu aku diseksa atau diberi pahala. tetapi, jika kamu bertanyakan sudah berapa tahunkah aku melakukan wuduk dan solat seperti ini, maka jawabku baru tiga puluh tahun"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan