01 April 2010

Selalulah bertaubat.....

Jiwa kita diumpamakan sebagai sebuah mentol lampu yang terang, Namun setiap kali kita melakukan dosa dan maksiat, satu titik hitam akan melekat kedalam hati dan jiwa kita. Lama kelamaan mentol yang bersinar terang itu akan dilitupi oleh titik hitam sehingga mentol yang terang itu tidak dapat lagi menembuskan cahayanya. Begitulah jiwa kita, yang perlu dibersihkan supaya cahaya dapat memancar untuk menunjuk jalan. Oleh itu, sucikanlah jiwa dengan banyak beristighfar memohon keampunan daripada Allah. Bertaubat diatas ketelanjuran sama ada terhadap Allah atau sesama manusia, bertaubatlah dengan taubat nasuha iaitu:

1. Segera meninggalkan maksiat dari terus dilakukan.

2. Menyesal diatas perlakuan maksiat yang telah dilakukan.

3. Berazam untuk tidak mengulangi maksiat.

Itulah syarat taubat nasuha yang dapat menyucikan jiwa. Apabila jiwa telah suci akan terpancarlah hidayah Allah.  Apabila jiwa telah dipenuhi dengan hidayah Allah, diri akan dapat berubah untuk mengerjakan amalan kebaikan. Waktu subuh tidak lagi terlewat, malah saat menunggunya diisi dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Memperbanyakan amalan lain sesama manusia seperti berjabat tangan mengeratkan hubungan silaturrahim, hati diisi dengan  kasih sayang melalui zakat, membuang sifat dendam dan dengki yang selama ini terpalit dihati. Tiada lagi kata nista, umpat dan keji meniti di bibir, alunan zikir bertali arus menunjukkan rasa rindu dan kasih  seorang hamba kepada Tuhannya. Tangan kanan menghulur sumbangan kepada yang memerlukan  sebagai tanda persaudaraan sesama islam. Surau dan masjid dipenuhi dengan umat islam bagi mengerjakan solat secara berjamaah. Sucikan jiwa dan ikhlaskan hati bagi kita memulakan hidup baru, sebagai garis permulaan kearah kejayaan abadi didunia dan akhirat


Mudah-mudahan dengan taubat yang kita lakukan dapat menyucikan jiwa kita daripada segala dosa yang sekian lama meyeliputi jiwa kita. Mohonlah keampunan  dan pertolongan  daripada Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan